PEMANDANGAN memukau ketika di puncak Gunung Mat Chinchang.
PEMANDANGAN memukau ketika di puncak Gunung Mat Chinchang.
Hafiz Ithnin


Apabila bercakap mengenai destinasi percutian ke Langkawi, nama Gunung Mat Chincang antara yang menjadi perhatian kerana ia adalah salah satu nama puncak gunung yang begitu popular di pulau lagenda berkenaan.

Malah, lokasinya yang mempunyai beberapa jalan alternatif untuk sampai ke puncak antaranya menerusi kereta kabel atau mendaki jika pengunjung ingin menikmati pemandangan aras mata burung di gunung berkenaan.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak, pastinya mendaki menjadi pilihan untuk puncak Gunung Mat Chincang yang mempunyai ketinggian 713 meter dari aras laut dan ia juga mempunyai banjaran yang agak panjang.

FORMASI batuan unik sepanjang laluan pendakian.
FORMASI batuan unik sepanjang laluan pendakian.

Baru-baru ini rakan penulis, Norhani Mohd Jaafar mendaki ke gunung Mat Chincang ketika melawat Pulau Langkawi dan kongsikan pengalaman menikmati pengalaman menawan puncak gunung berkenaan.

Katanya, dia memulakan pendakian pada jam 11.30 pagi menerusi pintu masuk Telaga Tujuh yang mengambil masa 30 minit dari Pantai Chenang.

Pendakian itu yang dilakukan pada Ramadan itu memerlukannya menyarungkan pakaian bersesuaian dan bersedia dengan cuaca panas terik.

"Saya memulakan pendakian dengan menaiki hampir 638 anak tangga hingga sampai ke Air Terjun Telaga Tujuh yang mengambil masa lebih kurang 15 minit. Ketika itu laluan mendaki masih lagi redup.

"Pendakian sebenar apabila mula memasuki jalan denai selepas merentas Air Terjun Telaga Tujuh dan saya memilih untuk melalui jalan denai yang dikenali sebagai Trail 701 Mat Chincang. Ketika memasuki laluan denai sudah kelihatan papan tanda memaklumkan pendakian mengambil masa dua jam menuju ke puncak," katanya.

KOLAM yang mengering kerana cuaca terlalu panas.
KOLAM yang mengering kerana cuaca terlalu panas.

Katanya, usai berjalan kira-kira 600 meter menerusi laluan denai yang berbatu sungai, dia sampai ke Kem Saintis iaitu kem pertama mengikut peta perjalanan. Seterusnya menyusuri anak sungai yang berbatu menuju Kem Mat Pauh.

"Ketika perjalanan menuju Kem Tok Ayah, saya dan seorang lagi rakan pendaki berpeluang menikmati Air Terjun Lagun Biru. Malangnya disebabkan keadaan cuaca yg panas tiada hujan, air di Lagun Biru semakin surut.

"Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam 15 minit atau sejauh 2.5km untuk sampai ke Puncak Telaga Tujuh. Rehat lebih kurang 10 minit di sini. Seterusnya pada jam 1.30 petang saya meneruskan pendakian ke Puncak Mat Chinchang," katanya.

Tambahnya, pendakian itu mengambil masa lebih kurang sejam 15 minit dan disajikan dengan pemandangan formasi dinding batu pasir sesuai dengan panggilan geotrail Taman Geoforest Machincang.

"Keadaan pendakian yang sudah mula memacak dan cuaca bahang memang memerlukan ketahanan dan kesabaran yang tinggi. Pada jam 2.45 petang saya berjaya sampai ke Puncak Gunung Mat Chincang.

"Kira-kira 10 minit sebelum sampai ke puncak kami menikmati keindahan banjaran gunung di satu kawasan melihat pemandangan. Di sini boleh melihat perjalanan kereta kabel menuju ke satu lagi puncak gunung pada ketinggian 708 meter," katanya.

Tambahnya, selain itu, pemandangan laut juga terlihat jelas dari puncak itu. Namun, cuaca panas tidak mengizinkan dia dan rakan lama di puncak. Sekitar 10 minit kemudian mereka memulakan perjalanan turun yang mengambil masa lebih kurang sejam 45 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 6:22 AM