AIR sungai kehijauan menandakan kejernihan.
AIR sungai kehijauan menandakan kejernihan.
JAMBATAN rendah merentasi Sungai Longjiang.
JAMBATAN rendah merentasi Sungai Longjiang.
Rashidah Ibrahim

Cadangan berkunjung ke Kota Guilin di Guangxi, wilayah timur laut China, menimbulkan keterujaan untuk melihat alam semula jadi yang indah dengan latar kehijauan bukit dan gunung, sungai dan gua beraneka bentuk.

Gui dalam bahasa Mandarin dikatakan berasal daripada nama bunga ‘Osmanthus’ manakala Lin bererti ‘hutan’. Keindahan terhasil daripada Hutan Osmanthus yang mekar setiap musim gugur.

Kota tidak berapa besar berkeluasan 27,800 kilometer persegi dibentuk oleh muka bumi Karst istimewa. Sebatang sungai bersih, Lijiang atau lebih dikenali Sungai Li mengalir, menjadikannya destinasi peranginan menarik untuk dikunjungi.

Seorang rakan, Rosmin Darus yang pernah melancong ke sana berkata, aktiviti lumrah di kota itu adalah menaiki rakit atau bot di Sungai Li sambil menyaksikan keindahan alam. Mengimbas gambar dipaparkan menerusi carian Google sebelum pergi, ternyata pemandangannya sungguh indah.

Sungai sepanjang 437 kilometer itu mengalir dari Banjaran Mao’er di Xing’an ke arah selatan melalui Guilin, Yangshuo dan Pingle.

Pelayaran menelusuri Sungai Li menawarkan suasana romantis sesuai sebagai lokasi berbulan madu bagi pasangan baru mendirikan rumah tangga. Panorama mengasyikkan dapat dilihat pada musim cerah, bayangkan biru firus air dan hijau bukit bersatu dengan langit biru syahdu.

Bagaimana pengalaman menaiki rakit?

“Saya duduk di kerusi atas rakit menyusuri sungai. Persembahan cerita legenda tengah malam di atas air nampak ‘real’ dan menarik. Rakit taklah besar mana, terasa gayat terutama apabila melalui kawasan curam tetapi pengendali rakit memang pakar. Mula-mula saja cemas tetapi kemudian seronok,” ujar Rosmin.

Namun kunjungan penulis pada musim dingin April lalu, cuaca berkabus lantaran sang mentari berterusan menyembunyikan diri bagai si dara pingitan, mengehadkan aktiviti kami.

Jika cuaca cerah pasti puas bergerak menyusuri sungai sekitar 80 kilometer, sambil menikmati keindahan alam. Pemandangan Sungai Li keseluruhannya bermula dari Kaunti Xing’an di utara, melalui kota Guilin sehingga ke Kaunti Yangshuo di selatan. Banyak destinasi menarik sepanjang sungai itu.

Perjalanan di darat mahupun sungai dalam cuaca suram, tetap dihiasi pemandangan deretan gunung dan bukit pelbagai rupa. Ada curam dengan kemuncak tajam, ada melengkung, tegak beriringan dan bersambungan serta berlapis-lapis diselaputi hutan menghijau. Bukit popular ialah Batu Ludi, Batu Qixing, Puncak Duxiu, Bukit Fubo dan Bukit Diecai.

Seronok merakam aneka bentuk bukit sehingga melekakan. Dalam cuaca mendung, kehadiran gunung dan bukit kelihatan samar berkabut. Terkadang menampakkan figurin siluet apabila sinar matahari bersatu dengan kabus.

Di sesetengah tempat lain, deretan bukit dan sawah hijau berpadu dengan butiran pasir dan air sungai, mempersembah khazanah alam yang terpelihara. Ketika sinar mentari muncul dari balik bukit, memberi suasana pemandangan lukisan alam.

Kami sampai di bandar Guilin dari lapangan terbang pada waktu tengah hari, terus ke Hotel Shangri-La. Selepas makan sekadar meninjau jalan di hadapan hotel memerhati gelagat pengguna jalan raya dan kedai yang ada di situ.

Penggunaan kereta, motosikal dan basikal bagaikan sama banyak. Ada motosikal dipasangkan payung di depan. Bentuknya besar dan membujur, meneduhi pemandu dan pemboceng sekali gus.

Sewaktu berjalan-jalan di kaki lima, berselisih dengan dua wanita tempatan, seorang berusia lewat 30-an, membawa anak dalam kereta sorong. Rakan saya, Yati Rahim menghulurkan sedekah wang tetapi ditolak wanita itu, dipercayai ibunya.

Selepas itu terserempak pula seorang warga emas mengendong anak. Yati yang pantang melihat anak kecil, sekali lagi menghulurkan sedekah dan wanita itu pantas menerimanya sambil tersenyum lebar menampakkan gigi bersalut perak.

Daripada pengamatan, penduduk Guilin mesra dengan pelancong. Mereka tidak menunjukkan gelagat sombong, sebaliknya murah dengan senyuman.

Dalam perjalanan pulang ke hotel, sempat membeli epal dan nanas segar di tepi jalan. Almaklum di tempat tidak diketahui mana kedai makanan halal, buah adalah terbaik untuk dijadikan bekalan dan dinikmati apabila perut tiba-tiba terasa lapar.

Keesokannya kami ke daerah terpencil, Yongfu, mengambil masa beberapa jam untuk sampai dengan bas dari kota Guilin. Kaunti Yongfu dikenali kerana keistimewaan tersendiri. Terletak di tenggara Guilin di wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, ia dikenali sebagai Kampung Panjang Umur.

Tempat ini menawarkan pemandangan suasana kampung dengan kedudukan rumah batu bata berjarakan di antara satu sama lain. Tiada kesesakan di kawasan tempat tinggal mahupun jalan raya.

Pertanian adalah kegiatan utama penduduk, mereka menanam sayur berhampiran rumah untuk makan harian di samping bekerja di kawasan perkebunan yang luas. Ternyata suasana di situ tenang lagi damai, dikatakan punca mereka menjalani kehidupan tanpa tekanan dan berumur panjang.

Sepanjang lawatan di desa itu, Yati tidak lepas meluahkan rasa kagumnya terhadap pemandangan alam.

“Cantiknya tempat ini, rasa tak nak balik,” ujarnya berkali-kali.

Pemandangan bukit bukau, sungai dan air terjun turut dilihat sewaktu kunjungan kami ke kampung Dashan di Kaunti Shitai, provinsi Anhui.

Selain sekumpulan panel forum turut bersama dalam lawatan itu, tiga pegawai audit halal dari Malaysia yang ditugaskan menilai status halal produk.

Seorang rakan daripada Sin Hua Group Sdn Bhd, menarik perhatian penulis terhadap keindahan wilayah berkenaan dan mengingatkan agar tidak melepaskan peluang berkunjung ke destinasi unik itu, yang akhirnya mendorong kami sampai ke situ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:01 AM