MESKIPUN berkhemah tetapi ia dapat ditawarkan dengan suasana ceria.
MESKIPUN berkhemah tetapi ia dapat ditawarkan dengan suasana ceria.
Hafiz Ithnin


DUNIA pelancongan eko nampaknya sentiasa mempunyai daya tarikan sendiri apatah lagi ia mampu menawarkan aktiviti pengembaraan yang mencabar.

Justeru, jika anda ke Pulau Langkawi, Kedah yang cukup terkenal dengan destinasi pelancongan pelbagai segmen penginapan dunia dan inginkan aktiviti berkhemah, sebenarnya terdapat operator yang menganjurkan aktiviti itu.

Berkongsi mengenai aktiviti melancong sambil berkhemah di Pulau Langkawi, Pengasas Rimba Sengara, Jaslin Puasa berkata, Pulau Langkawi terdapat banyak lokasi berkhemah yang menarik boleh dinikmati pelancong.

Malah, katanya, di Pulau Langkawi juga masih terdapat destinasi yang kurang mendapat kunjungan pelancong tetapi menarik untuk dilawati. Apatah lagi, jika berkhemah.

"Antara lokasi tapak perkhemahan yang dicadangkan ialah†di Air Terjun Telaga Tujuh. Lokasi perkhemahan ini menawarkan keindahan air terjun yang terhasil daripada†mata air dari Gunung Mat Chinchang yang membentuk tujuh kolam semula jadi.

"Suasana hutan dan bunyi air terjun yang menenangkan sudah tentu akan memberikan ketenangan apabila berkhemah di sini," katanya.

AKTIVITI berkhemah mampu menawarkan pengalaman percutian yang berbeza.
AKTIVITI berkhemah mampu menawarkan pengalaman percutian yang berbeza.

Jelasnya lagi, pengunjung berpeluang mandi manda dan makan sambil menikmati pemandangan air terjun yang mempesona. Bagi yang ingin meneruskan dengan aktiviti lasak yang lain, mereka boleh mendaki ke puncak Gunung Matchinchang.

Tambahnya, lokasi seterusnya adalah di Lubuk Semilang yang terletak di kaki Gunung Raya iaitu gunung tertinggi di Pulau Langkawi.

"Kawasan perkhemahan ini agak jauh dari kawasan rekreasi awam justeru memberikan privasi kepada peserta aktiviti itu.

"Air Sungai Korok yang mengalir jernih dan kawasan hutan menenangkan dapat memberikan nikmat alam yang tiada tandingnya," katanya.

Jaslin berkata, lokasi terakhir ialah di kawasan Pantai Tanjung Rhu. Keindahan pantai ini sangat terserlah kerana ia di kelilingi pokok rhu dan warna warni bot nelayan yang berlabuh setiap hari.

"Melalui tempat ini juga kita dapat melihat keindahan matahari terbenam dan terbit di atas lautan biru. Pemandangan indah turut diserikan dengan bunyi ombak menghempas pantai dan bunyi burung berterbangan.

MENIKMATI alam semula jadi secara santai menjadi satu kemestian.
MENIKMATI alam semula jadi secara santai menjadi satu kemestian.

"Lokasi ini juga menyediakan akses mudah kepada aktiviti lain yang terdapat di situ seperti ATV, menunggang kuda dan stand up paddle board (SUP)," katanya.

Katanya, semua lokasi berkenaan mempunyai keindahannya†tersendiri dan memberi variasi kepada pengunjung untuk menikmati alam semula jadi dari pelbagai aspek!

"Kami ingin mengajak mereka untuk lebih menghargai alam dengan menerapkan nilai bertanggungjawab terhadap alam.

"Antara permainan dan aktiviti yang kami lakukan ialah membuat pembersihan di kawasan sekitar dan memberi maklumat mengenai tumbuhan semula jadi yang terdapat di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 12:40 AM