MENARIK pengalaman berkayak menyusuri paya bakau.
MENARIK pengalaman berkayak menyusuri paya bakau.
Nurul Husna Mahmud


JIKA bercerita mengenai destinasi percutian berkonsepkan alam semula jadi, ramai membayangkan destinasi pantai memutih dengan laut kebiruan.

Tidak kurang juga ramai memilih destinasi pemandangan malar hijau seperti hutan dan gunung dengan deruan air terjun untuk bersantai.

Selain kedua-dua lokasi percutian itu, terdapat satu lagi destinasi percutian yang dapat menggamit 'minat' pencinta alam iaitu percutian berkonsepkan aktiviti dan menginap di pusat peranginan di hutan paya.

Hutan paya antara ekosistem cukup penting yang menyokong persekitaran lestari semula jadi selain memiliki keindahan tersendiri menjadikan ia antara lokasi unik untuk diteroka peminatnya.

Tarikan terbaru yang terletak di Sungai Merbok, Sungai Petani, Kedah iaitu Bakau Hijau antaranya mengetengahkan suasana percutian berlatarkan suasana paya bakau.

Keluar sahaja dari susur Sungai Petani, pengunjung hanya perlu meneruskan pemanduan kira-kira lapan kilometer untuk sampai ke destinasi itu.

Difahamkan hutan paya bakau di mana lokasi Bakau Hijau berada sekarang antara 'khazanah' alam yang paling berharga apabila memiliki spesies bakau yang hampir pupus.

RUMAH bot antara pilihan penginapan unik.
RUMAH bot antara pilihan penginapan unik.

Menurut pengurus kawasan itu, Nor Ashidi Abdul Rashid, kehijauan bakau dan spesies hidupan yang hidup dalam ekosistem itu sendiri menjadi penarik kepada pencinta alam.

"Tarikan utama di sini ialah keindahan pelbagai spesies bakau yang ada di sepanjang Sungai Merbok yang juga dinamakan salah satu taman geo iaitu Geo Park Jerai.

"Dianggarkan keluasan hutan bakau yang menyimpan lebih 40 spesies bakau mencapai 4,000 hektar dan turut menjadi tempat persinggahan burung pelbagai spesies.

"Melihat potensi dimiliki hutan bakau di Sungai Merbok ini, kami sebagai operator membangunkan produk pelancongan bagi merealisasikan pengalaman rekreasi di hutan paya.

MENENANGKAN pemandangan di Sungai Merbok.
MENENANGKAN pemandangan di Sungai Merbok.

"Pencinta alam semula jadi dari pelancong domestik sehingga antarabangsa boleh menikmati panorama di sini.

"Menariknya Bakau Hijau turut beroperasi secara akrab dengan komuniti setempat dalam membantu mereka turut menjana pendapatan menerusi produk pelancongan," katanya.

Menyentuh keistimewaan percutian di situ, kata Nor Ashidi Abdul Rashid, suasananya lebih privasi dan mendamaikan.

"Untuk percutian di sini, biasanya lebih privasi kerana kapasiti terhad untuk penginapan bergantung kepada bilik dan rumah bot yang ada.

PEMANDANGAN senja di Sungai Merbok.
PEMANDANGAN senja di Sungai Merbok.

"Pengunjung boleh memilih untuk berkhemah selain ia bergantung kepada konsep percutian yang mereka ingin alami di sini," katanya.

Mengenai aktiviti yang boleh disertai, kata Nor Ashidi lagi, keistimewaan di situ adalah aktiviti berkayak di hutan paya.

"Menyusuri Sungai Merbok antara aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung. Bagi mereka yang suka meneroka, aktiviti berkayak harus dicuba dengan menyusuri di celah-celah pohon bakau.

"Ketika musim burung berhijrah, pelbagai spesies burung yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini dapat ditinjau lebih dekat ketika berkayak.

AKTIVITI memancing menjadi tarikan unik di sini.
AKTIVITI memancing menjadi tarikan unik di sini.

"Selain aktiviti berkayak di sebelah malam juga wajar dicuba kerana suasana lebih dingin dan mendamaikan.

"Jika bernasib baik pengunjung berpeluang menyaksikan plankton yang bercahaya pada sebelah malam," katanya.

Selain berkayak, aktiviti mengunjungi pulau-pulau berhampiran dan mencari ketam serta lokan boleh dilakukan.

Bagi peminat aktiviti memancing, Sungai Merbok antara lubuk memancing yang menarik.

REKREASI hutan paya antara aktiviti unik boleh dicuba pengunjung.
REKREASI hutan paya antara aktiviti unik boleh dicuba pengunjung.

"Kaki pancing juga tidak boleh melepaskan peluang menawan spesies ikan pemangsa seperti siakap merah, siakap putih dan kerapu. Sungai Merbok memiliki beberapa lubuk istimewa untuk menaikkan ikan pemangsa.

"Pemancing juga boleh merasai pengalaman berkayak sambil memancing atau dikenali dengan 'kayak fishing' turut terkenal di luar negara.

"Memancing di sini juga lebih privasi dan menenangkan kerana tidak ramai orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 6:30 AM