Oleh Nurul Huda Kosnon


Permatang Pauh: "Tok rasa lega dan seronok dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," kata Othman Daud berusia 103 tahun yang juga antara individu paling awal membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti, Kubang Semang, di sini, hari ini.

Beliau yang juga pengundi tertua di kawasan itu tiba tepat 8 pagi ditemani jirannya, Chombe Saidin, 56, yang membawanya ke pusat mengundi.

Menurutnya yang lebih mesra disapa sebagai Tok Long berkata, dia bangun seawal 6 pagi untuk tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Malam tadi tidur pun tak lena, Tok rasa tak sabar nak keluar mengundi selain teruja untuk menunaikan tanggungjawab itu.

"Bila sudah selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi ni Tok rasa lega dan seronok," katanya yang tiba di pusat mengundi dengan berpakaian baju Melayu berwarna ungu.

Katanya, dia datang ke pusat mengundi bersama seorang jiran yang tinggal berhampiran rumahnya dengan menaiki kereta.

"Saya bangun tepat 6 pagi untuk bersiap dan tiba di lokasi mengundi pada 8 pagi.

"Tok Long memang tak pernah terlepas untuk mengundi kerana itu adalah tanggungjawab Tok sebagai penduduk Permatang Pauh sejak lebih 70 tahun lalu.

"Walaupun Tok tidak berapa sihat dengan mata rabun, mengalami masalah pendengaran dan tidak boleh berjalan jauh tapi Tok tetap gagahkan diri untuk keluar mengundi. Alhamdulillah, semuanya selesai dan berjalan dengan lancar," katanya.

Sementara itu, Chombe Saidin berkata, sepanjang perjalanan dari rumah ke pusat mengundi yang mengambil masa kira-kira 20 minit, Tok Long banyak bercerita mengenai hari mengundi ini.

"Tok ada cerita mengenai calon yang mahu dipilih dan sebagainya. Dia memang seronok untuk mengundi sama seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU), sebelum ini.

"Saya nekad membawanya keluar mengundi seawal 7.40 dan tiba di lokasi pengundian kira-kira 8 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 1:54 PM