SITI Toriah tekun mengopek ikan bilis untuk mendapatkan pendapatan harian. FOTO Mikail Ong
SITI Toriah tekun mengopek ikan bilis untuk mendapatkan pendapatan harian. FOTO Mikail Ong
Oleh Nurul Huda Kosnon


Permatang Pauh: "Walau apa pun, saya tetap akan turun mengundi serta berharap calon yang menang kelak akan membantu rakyat yang kesusahan seperti saya.

Itulah rintihan seorang wanita warga emas berusia 75 tahun yang mengambil upah mengopek ikan bilis bagi mencari sesuap nasi akibat kemiskinan hidup yang dialaminya sejak kematian suami lebih lima tahun lalu.

Siti Toriah Abdul Rahman berkata, hidupnya kini umpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' berikutan pendapatannya yang tidak menentu.

"Makcik ambil upah dengan pengusaha Cina mengopek ikan bilis. Paling banyak Makcik boleh dapat sebulan RM80 bergantung berapa banyak ikan bilis yang dihantar.

"Misalnya 10 kilogram (kg) ikan bilis, upah hanya RM8. Duit tulah yang makcik guna untuk mengisi perut.

"Makcik pun dah tak larat berjalan jauh sebab masalah kesihatan.

"Kalau ada ambil upah mengopek ikan bilis ni makcik baru makan. Makcik orang susah tak ada duit, anak-anak masing-masing sibuk dengan kerja dan tinggal di luar Pulau Pinang.

"Hanya seorang anak tinggal dengan makcik tapi hanya duduk rumah selepas tak boleh berjalan akibat penyakit gout," katanya yang ditemui di rumahnya di Mengkuang Berapit 5, Bukit Mertajam, pagi tadi.

Katanya, berikutan anaknya yang berusia lingkungan 40-an tidak boleh berjalan, dia turut menanggung kehidupan anaknya itu jika memerlukan bantuannya.

"Sejak dia diserang penyakit itu beberapa bulan lalu, menantu saya yang keluar bekerja manakala dia hanya duduk di rumah.

"Saya juga tidak mahu menyusahkan sesiapa dan mencari pendapatan sendiri dengan mengambil upah ini untuk mencari sesuap nasi.

"Saya hanya menerima bantuan daripada Pusat Zakat pada Hari Raya Aidilfitri saja. Tapi, hari ini kalau ada pihak yang menyumbang RM100 pun, makcik bersyukur sangat," katanya.

Katanya, dia nekad untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh biar pun kesihatannya tidak mengizinkan.

"Kuat ke tak kuat, yang penting kena juga keluar mengundi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:10 PM