AQUINO
AQUINO

Manila: Walaupun Presiden Benigno Aquino III mengaku bertanggungjawab terhadap tragedi di Mamasapano, ini tidak bererti dia akan memohon maaf.

Timbalan Jurucakap Presiden Abigail Valte memberitahu pemberita dia berbincang dengan Aquino mengenai perkara itu semalam tetapi ia tidak menyentuh mengenai permohonan maaf.

Ditanya punca Aquino tidak meminta maaf walaupun mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian yang meragut nyawa 44 komando polis itu, Valte berkata: “Setakat ini, beliau mahu memberi perhatian terhadap apa yang boleh dilakukan selepas kejadian 25 Januari itu.”

Bekas Presiden Fidel Ramos dan Senator Grace Poe berkata Aquino sepatutnya menimbang untuk meminta maaf atas kegagalan operasi Mamasapano yang turut mengorbankan 18 pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan lima orang awam.

Ramos semalam mempertikaikan kenapa begitu sukar untuk Aquino meminta maaf.

“Apa susahnya? Ucapkanlah saja ‘saya minta maaf’ secara ikhlas, kerana sudah pasti itu dapat sedikit sebanyak meredakan perasaan semua pihak,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:14 AM