Kuala Lumpur: Permulaan hambar buat skuad negara di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2015 Wuhan apabila beregu wanita, Amelia Alicia Anscelly tersingkir di pusingan pertama semalam.

Mengalami nasib sama dua beregu campuran, Tan Chee Tean-Shevon Lai dan Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan apabila turut ditunjukkan jalan keluar.

Khabar gembira hanya diperoleh daripada beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, itupun selepas mendapat kemenangan percuma apabila Alina Klychkova-Yana Sarkisyan dari Turkmenistan menarik diri.

Amelia-Fie Cho yang juga beregu wanita kedua negara tumpas kepada Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan 5-21, 18-21 dalam perlawanan berlangsung selama 40 minit.

“Hari ini (semalam) bukan aksi terbaik kami terutama set pertama kerana menggunakan taktik salah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pemain kelahiran Sabah itu berkata, mereka cuba bermain dengan lebih sabar pada set kedua tetapi masih lagi belum konsisten sebelum tumpas.

“Tapi saya tidak rasa kekalahan ini bukan disebabkan kami letih selepas beraksi beberapa kejohanan sebelum ini termasuk Siri Super Premier Terbuka Malaysia awal bulan ini,” katanya.

Selepas ini Amelia-Fie Cho akan beraksi di Siri Super Terbuka Australia dan mereka tidak menetapkan sebarang sasaran cuma berjanji akan memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.

Hari ini Vivian-Khe Wei akan berentap di pusingan kedua menentang pasangan Bangladesh, Aktar Shapla-Alina Sultana.

Turut turun ke gelanggang pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng yang mendapat bye di pusingan pertama semalam dan menantinya di pusingan kedua pemain Ahmad Aljallad dari Syria.

Perseorangan wanita, Tee Jing Yi juga mendapat bye pada pusingan pertama akan bertemu pemain Jordan, Mazahreh Leina Fehmi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 8:08 AM