Kuala Lumpur: Selepas mendapat pengajaran berguna daripada aksi sulung Seluruh England 2015 minggu lalu, pasangan wanita negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho perlu bangkit menjelang Grand Prix (GP) Emas Terbuka Switzerland.

Amelia dan Fie Cho bakal memulakan aksi pusingan pertama bertemu pasangan Estonia Kati Kreet Marran-Sale Liis Teesalu di St Jakobshalle.

Menurut jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, kelemahan kedua-dua anak buahnya itu pada Seluruh England ialah penyesuaian dalam gelanggang yang agak perlahan.

“Prestasi mereka tidak begitu bagus, tapi saya harap mereka bangkit pada Terbuka Switzerland,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Jelasnya, walaupun Amelia-Fie Cho dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei gagal melepasi pusingan pertama, beliau yakin anak buahnya itu akan bangkit.

“Yang penting kami perlu meneruskan persediaan untuk kejohanan seterusnya termasuk Terbuka Switzerland,” katanya.

Selain beregu wanita, turut beraksi pada kejohanan ini ialah perseorangan negara, Soo Teck Zhi, Liew Daren, Zulfadli Zulkiffli dan Mohd Arif Latif.

Mereka akan beraksi pada pusingan pertama awal pagi ini bagi mencari slot mara ke pusingan kedua.

Turut mengambil bahagian beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang akan memulakan aksi menentang pasangan Jerman, Raphael Beck-Andreas Heinz.

Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula akan menanti pemain daripada peringkat kelayakan untuk memulakan aksi pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:29 AM