Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Selangor FC seolah mendapat bantuan 'orang dalam' apabila jadual aksi sepanjang Ramadan ini berlangsung di halaman sendiri.

Situasi itu sebaliknya tidak buat pasukan lain yang perlu beraksi di tempat lawan.

Jelas Tunku Ismail, jadual aksi Liga Super yang disusun oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) seperti memberi kelebihan kepada Selangor FC.

"Good point berdasarkan fakta. Nampak macam dah dirancang dengan orang atasan. Maklumlah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), MFL, komiti pengadil semua orang mana?

"Semua perlawanan dari mula pun lawan pasukan baru dinaikkan pangkat dan pasukan tercorot liga. Macam ada yang nak membantu untuk dapat mata maksimum dan momentum. Bulan puasa tiada 'traveling' semua main 'home' dan di Lembah Klang.

"Macam dah dirancang dari awal untuk membantu misi-misi tertentu selepas tujuh tahun gagal semenjak Izhar Moslim (bekas pengurusan Selangor FC) belakang tabir," katanya di laman Story Instagramnya.

Berdasarkan jadual liga, anak buah Tan Cheng Hoe akan bermain di halaman sendiri tanpa perlu bergerak jauh sepanjang Ramadan ini.

Bermula dengan aksi menentang Negeri Sembilan semalam (Selangor menang 2-1), Red Giants akan terus menanti kunjungan Kelantan FC dan Terengganu FC dalam saingan liga.

Sri Pahang turut akan bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya berdepan Selangor bagi aksi pusingan 16 Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 11:26 PM