Oleh Murni Wan Omar


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli dan pemilik portal Mediarakyat.net berhubung kenyataannya mengenai penghapusan subsidi minyak.

Najib yang bertindak di atas kapasiti peribadi beliau dan Rosmah memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 15 April lalu melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & AishaMubarak.

Mereka menamakan Rafizi selaku defendan pertama dan pemilik Portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong sebagai defendan kedua.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa perkataan fitnah itu menyebabkan kerosakan teruk dan meninggalkan kesan kepada reputasi mereka.

Oleh itu mereka menuntut ganti rugi dan injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 4:18 PM