MOHD Hafarizam ketika ditemui selepas prosiding kes berkenaan. FOTO Saddam Yusoff
MOHD Hafarizam ketika ditemui selepas prosiding kes berkenaan. FOTO Saddam Yusoff
Murni Wan Omar


DATUK Seri Najib Razak menarik balik saman terhadap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan permohonan itu selepas bertemu peguam kedua-dua pihak di dalam kamarnya.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam yang mewakili Najib ketika ditemui berkata, beliau diarahkan oleh anak guam untuk menarik balik saman itu tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Beliau berkata, pihaknya menarik balik saman terhadap Pua dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, dengan terma yang tidak didedahkan.

Peguam Michelle Ng hadir bagi mewakili Pua, manakala peguam Shahid Adli Kamarudin mewakili Chan.

Pada 5 Mac 2015, Najib atas kapasiti peribadi memfailkan saman itu dengan menamakan Pua dan Chan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pada 13 November 2014, Pua sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP ada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

Najib berkata, rakaman ucapan itu dimuat naik oleh Chan sendiri dan atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Beliau mendakwa penerbitan perkataan fitnah itu merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui Internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 11:57 AM