NAJIB mendapat sokongan padu  pada pertemuan khas bersama ketua UMNO Bahagian di PWTC, semalam.
NAJIB mendapat sokongan padu pada pertemuan khas bersama ketua UMNO Bahagian di PWTC, semalam.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Tidak ada sesiapa pun akan terlepas kalau ada penyelewengan dalam 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” tegas Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan komitmen beliau itu pada pertemuan khas bersama ketua UMNO Bahagian di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC ) di sini, semalam.

Pengerusi Penyelaras Solidariti Ketua UMNO Bahagian Bersama Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Najib yang juga Presiden parti turut mengulangi komitmen bahawa mereka yang didapati bersalah tidak akan dilindungi jika terdapat salah laku dalam syarikat pelaburan kerajaan itu.

Justeru, kata beliau, semua ketua bahagian menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada presiden parti berikutan pelbagai fitnah yang dilemparkan.

“Menjadi tanggungjawab kami selaku ketua bahagian untuk bersama presiden dalam menghadapi tekanan dan penghinaan serta fitnah yang berlaku.

“Semua ketua bahagian berpuas hati dengan penjelasan beliau dan kami akan turun padang menggunakan medan mesyuarat cawangan parti yang akan bermula bulan ini untuk memberikan penjelasan kepada semua ahli di peringkat akar umbi berkaitan tohmahan dan fitnah ke atas Datuk Seri Najib dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perjumpaan berkenaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan Naib-naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Seramai 160 ketua UMNO Bahagian hadir termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Negeri pada pertemuan selama hampir dua jam berkenaan.

Isu 1MDB menjadi ‘modal serangan’ parti pembangkang ke atas Perdana Menteri sehingga beliau tiada pilihan selain mengambil tindakan mahkamah atas kapasiti peribadinya dengan memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan seorang lagi berhubung isu 1MDB.

Najib memfailkan saman itu Khamis lalu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dan menamakan Pua, 42, dan pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 51, sebagai defendan pertama dan kedua.

Sebelum itu, Perdana Menteri turut mengambil tindakan undang-undang ke atas lidah rasmi PAS, Harakah Daily kerana didakwa memfitnahnya.

Tindakan undang-undang tersebut dibuat atas kapasiti peribadi berikutan fitnah dibuat Harakah dalam laporan bertajuk ‘Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz?’

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, perjumpaan berkenaan diatur oleh ketua bahagian.

Beliau berkata, perjumpaan seperti itu ditetapkan dua kali setahun seperti yang dipersetujui dalam perjumpaan pertama kali pada tahun lalu di kediaman Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 7:47 AM