Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang didakwa memuat naik status memfitnah mereka berdua di laman Facebook miliknya.

Najib yang memfailkan atas kapasiti peribadi dan Rosmah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Jun lalu.

Media memperoleh writ saman itu semalam dan pengurusan kes ditetapkan pada 10 Julai ini di hadapan Timbalan Pendaftar Anisah Normah Muhammad Nor.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Najib dan Rosmah selaku plaintif mendakwa Nga (defendan) memuat naik gambar mereka dan kenyataan fitnah di laman Facebook atas nama Nga Kor Ming, pada 29 Mac lalu.

Mereka mendakwa Nga menerbitkan perkataan fitnah dalam akaun Facebooknya yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna Internet di seluruh dunia.

Pada 10 April lalu, plaintif melalui peguamnya menghantar notis tuntutan kepada Nga bagaimanapun dia menafikan serta enggan bersetuju dengan tuntutan oleh memfitnah Perdana Menteri dan isterinya itu.

Plaintif mendakwa walaupun defendan sudah mengambil tindakan untuk membuang status dan gambar itu, bagaimanapun ia masih tersebar di blog lain serta masih boleh diakses seluruh dunia.

Oleh itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif turut memohon perintah injunksi untuk menahan defendan atau pembantunya atau ejennya daripada menerbitkan semula perkataan berunsur fitnah itu.

Selain itu, plaintif juga memohon supaya defendan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di surat khabar dan majalah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 8:17 AM