Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengalu-alukan lebih ramai kehadiran pemain asing yang mempunyai hubungan kekeluargaan untuk diserapkan bersama pasukan tempatan dalam Liga M dan seterusnya mewakili negara di pentas antarabangsa.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan mana-mana pihak untuk mengetengahkan pemain yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Malaysia dan bersikap terbuka menerimanya.

“Ia tidak menjadi masalah cuma pemain berkenaan perlulah mempunyai tahap permainan lebih jika dibandingkan dengan pemain tempatan lain.

“Kami tidak menolak sekiranya kehadiran pemain seperti ini mampu menyumbang kepada liga tempatan dan skuad negara. Kita bersedia membantu mendapatkan taraf kerakyatan mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan demi bola sepak. Manakala untuk mewakili negara, mereka perlu melalui proses sama seperti pemain lain,” kata Hamidin.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini menggalakkan pendekatan berkenaan dipraktikkan kepada semua jenis sukan termasuk bola sepak selain turut disokong Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:05 AM