Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar (gambar) menyambut baik saranan membawa masuk lebih ramai pemain asing yang mempunyai hubungan kekeluargaan bagi melonjakkan kancah bola sepak tempatan dan skuad negara.

Katanya, pendekatan itu seharusnya digunakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan ahli gabungannya selepas banyak negara termasuk Sepanyol sekali pun menggunakannya cara berkenaan.

“Banyak negara menggunakan pendekatan ini, contohnya Sepanyol yang turut menerima kehadiran Diego Costa walaupun sudah mempunyai ramai pemain hebat.

“Malah contoh paling dekat adalah Filipina yang sudah mengambil ramai pemain berdarah kacukan sehingga melonjakkan skuad bola sepak mereka.

“Saya menyokong pendekatan ini dan kemungkinan lebih ramai pemain berbakat di luar negara boleh diserapkan selagi mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Malaysia.

“Saya harap FAM menggandakan usaha ini terutamanya menerusi ahli gabungan pada peringkat negeri. FAM mungkin tidak mempunyai ruang dan maklumat yang banyak berbanding ahli gabungan,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Semalam Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menggalakkan FAM serta Majlis Sukan Negara (MSN) memantau pemain atau atlet yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Malaysia untuk diserapkan menjadi warga negara bagi mewakili negara sekiranya berbakat.

“Kita tidak perlu mencari terlalu jauh sehingga Eropah, perhatikan saja pemain yang beraksi di Liga Thailand, saya rasa ramai pemain mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Malaysia dan harus diakuinya saingan mereka lebih kompetitif,” kata kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Malaysia kini mempunyai tiga pemain berdarah kacukan iaitu Brendan Gan (Malaysia-Australia), Junior Eldstal (Malaysia-Sweden) dan Matthew Davies (Malaysia-Australia) yang sudah membuktikan kemampuan masing-masing.

Tambahnya menerusi pengamatannya, terdapat perbezaan ketara dengan pemain tempatan lain terutamanya sais fizikal dan corak pemikiran dalam padang ketika beraksi.

“Pemain luar ini berada dalam sistem yang betul, mendapat pendedahan awal hingga dalam usia 19 tahun sudah menjadi pemain matang, berjiwa besar, lebih bersemangat dan berkeyakinan tinggi,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:23 AM