STUART Ramalingam
STUART Ramalingam
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Senarai pemain muda berdarah kacukan Malaysia di luar negara dalam lingkungan usia 16 hingga 24 tahun yang bersedia menyarung jersi Harimau Malaya pada masa depan kini meningkat kepada tujuh orang.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam yang mengadakan pertemuan dengan seorang ejen bola sepak kelmarin, bagi menjayakan misi itu.

Dalam pertemuan itu, ejen terbabit bersedia membantu membawa pemain berkenaan untuk menyarung jersi Malaysia jika persembahan mereka memikat jurulatih kebangsaan.

Stuart yang enggan mendedahkan secara terperinci identiti pemain berkenaan memberitahu semua pemain kacukan itu menyatakan minat untuk mewakili Malaysia jika berpeluang berbuat demikian.

“Saya sudah mengadakan perbincangan bersama ejen berkenaan dan boleh mengesahkan tujuh pemain kacukan iaitu lima daripada mereka berusia lingkungan 16 tahun.

“Dua lagi berusia lingkungan 24 tahun dan mereka kini bermain untuk pasukan tertentu di Eropah, namun saya tidak boleh menyatakan identiti mereka sekarang ini.

“Enam daripada pemain berkenaan berdarah campuran Inggeris, manakala seorang lagi Nigeria dan mereka ini sememangnya berbakat dalam bola sepak,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Semalam, Arena Metro melaporkan FAM mengesahkan terdapat ejen yang akan memperkenalkan lima pemain kacukan kepada badan induk itu yang kini sedang beraksi di beberapa liga di luar negara.

Malah, tular mengenai pemain kacukan England-Malaysia, Jamie Qureshi berusia 16 tahun yang kini beraksi untuk skuad bawah 16 tahun kelab Liga Perdana Inggeris, Brighton dan Hove Albion FC.

Pemain berkenaan juga terpilih untuk mewakili skuad England Bawah 15 tahun, sekali gus mampu memberi impak kepada skuad Harimau Malaya pada masa akan datang jika dia mahu mewakili Malaysia.

Selain tujuh pemain berkenaan, pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal turut berpotensi untuk diserapkan ke pasukan Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Stuart berkata, pihaknya akan memantau terlebih dulu pemain berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut bagi memastikan mereka layak untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

“FAM akan mengumumkan perkara ini selepas mendapat maklumat lanjut berkaitan pemain berkenaan dan pada masa sekarang identiti mereka tidak boleh didedahkan kerana boleh menimbulkan beberapa masalah lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 8:30 AM