Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bukan Hendrawan saja, tetapi semua perlu bantu, jelas Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengenai usaha melahirkan seorang lagi pemain seperti Datuk Lee Chong Wei.

Menurutnya, BAM mengakui setiap jurulatih diberikan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang jelas, termasuk usaha melahirkan seorang lagi Chong Wei.

Bagaimanapun, tugas itu bukan terletak di atas bahu seorang jurulatih saja sebaliknya usaha secara kolektif.

“Buat masa sekarang Hendrawan memang diberi peranan untuk terus melatih Chong Wei kerana pemain itu mahu beraksi pada Kejohanan Dunia (di Glasgow, Scotland tahun depan).

“Bagaimanapun, dalam masa sama Hendrawan juga membimbing beberapa pemain muda termasuk Iskandar (Zulkarnain Zainuddin),” kata Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM.

Ujarnya, BAM sentiasa melantik jurulatih dan memastikan semuanya bertaraf dunia seperti dilakukan ketika memilih Indra Wijaya dari Indonesia.

“Indra diberi tugas melatih kelompok pemain muda dan dia juga berkongsi tanggungjawab untuk melahirkan pemain seperti Chong Wei.

“Jadi, usaha melahirkan pemain seperti Chong Wei memerlukan kerja berpasukan.

“Ia bukan hanya diletakkan di atas bahu seorang jurulatih,” kata Norza yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).

Dalam pada itu, Norza berkata, BAM mempunyai perancangan membawa masuk seorang lagi jurulatih berkaliber untuk perseorangan lelaki bagi mengukuhkan lagi usaha ke arah melahirkan pemain sehebat Chong Wei.

“Perkara ini ada dibincangkan ketika mesyuarat C&T baru-baru ini dan kita sedang mempertimbangkan jurulatih yang layak,” katanya.

Kelmarin, legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek memberi cabaran kepada Hendrawan untuk melahirkan seorang lagi pemain nombor satu dunia selepas Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 9:21 AM