ALISSON Becker melakukan dua kesilapan sehingga membolehkan City menjaringkan gol. FOTO EPA
ALISSON Becker melakukan dua kesilapan sehingga membolehkan City menjaringkan gol. FOTO EPA
AFP

Liverpool: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyalahkan dua kesilapan Alisson Becker menyebabkan mereka dimalukan Manchester City di laman sendiri selepas kalah 1-4.

Penjaga gol Brazil itu melakukan kesilapan dengan hantaran kurang berhati-hati sehingga membolehkan City memperoleh gol kedua dan ketiga hasil jaringan Ilkay Gundogan serta Raheem Sterling, sekali gus menyaksikan Liverpool kalah tiga kali berturut-turut di gelanggang sendiri buat kali pertama sejak 1963.

Alisson sebelum ini menjadi kunci kebangkitan Liverpool baik di peringkat domestik mahupun Eropah, dengan membantu kelabnya muncul juara Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam penampilan dua musim pertama di Anfield.

"Ali berjaya menyelamatkan kami beberapa kali dan malam ini dia melakukan dua kesilapan, itu yang berlaku.

"Anda tidak boleh menyembunyikan lagi. Ia memang benar kami tidak memberikannya banyak pilihan (dalam melakukan hantaran), terutama ketika kesilapan pertama. Mungkin dia berasa kurang yakin," kata Kloop.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, City yang juga mempunyai baki satu perlawanan.

The Reds sekarang ini kekal di tangga keempat dan Klopp mengakui mereka harus bertahan di kedudukan berkenaan untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Itu adalah sasaran utama kami. Masih cukup perlawanan buat kami untuk memastikan kedudukan ini selamat tapi kami harus mencatat kemenangan.

"Jika kami bermain seperti sebelum ini, kami akan akan mencatat kemenangan," kata pengendali kelahiran Jerman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 9:43 AM