KANE meraikan jaringannya. FOTO Reuters
KANE meraikan jaringannya. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Kegagalan Manchester City menyambar Harry Kane kembali menghantui mereka selepas kapten England itu meledak dua gol ketika membantu Tottenham meraih kemenangan 3-2 di Stadium Etihad sekali gus menyaksikan pemburuan kejuaraan Liga Perdana kembali terbuka.

Tandukan Kane minit ke-95 yang juga gol kedua selepas tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Riyad Mahrez, menyaksikan City tewas aksi pertama liga selepas 16 perlawanan.

Liverpool berpeluang merapatkan jurang kepada hanya kurang tiga mata dengan pendahulu liga itu Khamis ini jika mereka dapat menewaskan Leeds di halaman sendiri.

"Kami tidak perlu tewas dalam perlawanan kerana mengetahui betapa sukarnya untuk memenangi liga.

"Masih banyak lagi perlawanan yang perlu dilalui," kata pengurus City, Pep Guardiola.

Pengurus Tottenham, Antonio Conte berjaya mengelak melihat anak buahnya mengalami kekalahan kali keempat berturut-turut selepas mempamerkan corak bertahan dengan gandingan Kane dan Son Heung-min cukup cemerlang pada babak kedua.

"Pertama sekali saya bencikan kekalahan. Reaksi kami hari ini sangat penting.

"Kemenangan ini akan memberi lebih keyakinan kepada kami. Bukan mudah bertemu Manchester City selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut," kata Kane.

Dejan Kulusevski menjaringkan gol pertama Spurs seawal minit ke-4 tetapi City menyamakan kedudukan menerusi gol Ilkay Gundogan minit ke-33.

Kane kemudian meledak gol kedua minit ke-59 tetapi Mahrez muncul penyelamat City apabila menyamakan kedudukan di minit ke-92 menerusi sepakan penalti.

Namun Kane memusnahkan impian tuan rumah untuk memungut sekurang-kurangnya satu mata apabila menjaringkan gol kemenangan di hujung masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 6:53 AM