FOTO ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
FOTO ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Kuching: Letupan yang mencederakan sebelas penduduk rumah pangsa Teres Garden, Jalan Sibu Jaya, Sibu, awal pagi tadi, dipercayai berpunca daripada tong gas yang disimpan dalam rumah yang dijadikan kedai runcit di tingkat bawah rumah pangsa itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata dipercayai berkemungkinan berlaku kebakaran kecil yang menyambar beberapa tong gas di kedai itu.

Katanya, letupan kuat daripada tong gas menyebabkan struktur rumah pangsa itu runtuh.

"Bomba masih mencari punca nyalaan kebakaran dan jumlah tong gas yang terbabit juga masih belum diketahui. Ketika ini proses siasatan terpaksa ditangguhkan bagi keselamatan pasukan penyiasat.

"Kami menunggu pengesahan keselamatan struktur bangunan daripada Bahagian Kejuruteraan Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching untuk meneruskan siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 1:37 PM