PENYOKONG Houthi melaungkan slogan di Taiz ketika memprotes serangan udara diketuai Arab Saudi.
PENYOKONG Houthi melaungkan slogan di Taiz ketika memprotes serangan udara diketuai Arab Saudi.

Aden: Pesawat pejuang pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi membedil selatan Yaman sepanjang malam dalam serangan paling dahsyat sejak kempen dimulakan terhadap pemberontak Syiah di negara itu, bulan lalu.

Seorang penduduk berkata: “Serangan bermula sekitar jam 10 malam (waktu tempatan) pada Khamis dan memang yang paling dahsyat sejak operasi dilancarkan.”

Penduduk lain berkata, operasi berlarutan sepanjang malam terutama di ibu pejabat pentadbiran tempatan Dar Saad, pintu masuk sebelah utara bandar itu.

Serangan dilancarkan beberapa jam selepas pemberontak Houthi Syiah dan askar yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh tiba di bangunan itu.

Serangan udara turut menyasarkan lokasi lain termasuk stadium di tengah bandar dan sekatan jalan raya yang dikendalikan pemberontak.

Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak dapat disahkan.

Selain itu, serangan udara turut menyasarkan Ataq, ibu negeri wilayah Shabwa di timur Aden yang ditawan penyokong Ali, Khamis lalu.

Seorang pegawai tentera berkata, serangan dilancarkan terhadap pangkalan senjata berhampiran bandar itu dan depoh simpanan senjata di Morra di barat Ataq.

Kedudukan pemberontak di sekitar Lahj di utara Aden juga menjadi sasaran.

Serangan diketuai Arab Saudi itu bermula 26 Mac lalu bagi menyokong Prseiden Abed Rabbo Mansour Hadi selepas Houthi menawan ibu negeri, Sanaa, memaksanya melarikan diri ke Aden dan seterusnya ke Riyadh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:18 AM