SITI Nurhaliza Siti bakal terbabit menjayakan konsert yang diberi nama Karya Agung Pak Ngah. FOTO: Nurul Shafina Jemenon
SITI Nurhaliza Siti bakal terbabit menjayakan konsert yang diberi nama Karya Agung Pak Ngah. FOTO: Nurul Shafina Jemenon
Oleh Syanty Octavia Amry


BAKAL menerbitkan album baharu selewat-lewatnya tahun depan, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga akan merakam semula lagu dendangan Allahyarham Datuk Sudirman berjudul Teratai Menjelma.

Siti berkata, pemilihan lagu berkenaan bagi memberikan lebih kepelbagaian dalam albumnya kali ini.

“Saya mahu pelbagaikan genre lagu dalam album kali ini dan pemilihan Teratai Menjelma juga bagi mengangkat muzik irama tradisional di samping mahu ia kekal relevan.

“Selepas mendengar lagu berkenaan saya rasa ia menarik dan sangat sedap didengar,” katanya.

Siti berkata, lagu itu antara 10 lagu yang dimuatkan dalam albumnya yang belum mempunyai judul lagi.

Siti berkata, sudah lama tidak tampil dengan lagu tradisional dan berharap ia menjadi pengubat rindunya terhadap lagu itu.

“Selain lagu berkenaan yang termasuk dalam tiga lagu lama album ini juga akan memuatkan tujuh lagu baharu. Ia akan menampilkan komposer hebat seperti Melly Goeslaw, Aubrey Suwito dan Joe Flizzow. Saya juga menantikan lagu daripada Hael Husaini,” katanya.

Dalam pada itu, Siti bakal terbabit menjayakan konsert yang diberi nama Karya Agung Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Datuk Seri Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 14 dan 15 November depan.

Selain Siti, konsert berkenaan juga akan dijayakan Syamel, Ernie Zakri, Asmidar dan Roger.

Mengulas mengenai konsert berkenaan, Siti berkata, dia akan menyanyikan koleksi lagu tradisional karya Pak Ngah yang sentiasa menjadi ingatan dan malar segar sehingga hari ini.

“Saya akan mempersembahkan tujuh lagu dan pastinya Cindai antara yang akan dinyanyikan pada malam konsert berkenaan kerana ia antara lagu yang menaikkan nama saya.

“Persembahan berkenaan juga akan dibahagikan kepada dua slot iaitu lagu penuh dan segmen lagu medley,” katanya.

Katanya, pembabitan pada konsert itu juga antara cara dia membalas jasa Allahyarham Pak Ngah yang banyak membantu awal pembabitannya dalam bidang seni.

“Tidak saya nafikan kasih sayang arwah dan keluarganya masih dapat saya rasakan sehingga ke hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:20 AM