London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers menyangkal laporan beliau berang terhadap pemainnya dalam satu mesyuarat selepas kekalahan 1-4 di tangan Arsenal.

Difahamkan beberapa pemain Liverpool bertelagah dengan Rodgers kerana tidak menurunkan mereka ketika perbincangan krisis di padang latihan kelab itu, Melwood kelmarin.

Liverpool kini tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat Liga Perdana, menyaksikan mereka semakin hampir terlepas aksi Liga Juara-Juara musim depan.

Namun, dengan Liverpool berkunjung ke kelab Liga Kejuaraan, Blackburn bagi perlawanan ulangan suku akhir Piala FA awal pagi esok, Rodgers berhasrat melupakan kekalahan Sabtu lalu apabila beliau menolak dakwaan bertelagah dengan pemainnya, menegaskan tiada apa yang berlaku pada sesi taklimat selepas perlawanan itu.

“Saya mendapat tahu mengenainya pagi ini. Ia sesuatu yang anda tidak boleh elakkan,” katanya.

“Kami banyak mesyuarat di sini dari segi menganalisis persembahan dan tiada bezanya dengan mesyuarat lain sepanjang tahun.

“Mesyuarat itu membantu kami bangkit daripada permulaan buruk untuk memenangi 10 daripada 13 perlawanan.

“Tiada apa sebenarnya; ia hanya mengenai menganalisis persembahan dan kedudukan kami ketika ini.”
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 8:36 AM