REAKSI pemain Liverpool selepas tewas sepakan penalti.
REAKSI pemain Liverpool selepas tewas sepakan penalti.
AFP

Istanbul: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers mengaku kecewa selepas tersingkir daripada saingan Liga Europa di tangan Besiktas menerusi penentuan penalti dan kini memberi tumpuan terhadap saingan Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.

“Kami kecewa dengan cara kami tersingkir,” kata Rodgers selepas perlawanan timbal balik di Istanbul yang menyaksikan Besiktas menyamakan agregat 1-1 dan kemudian menang 5-4 menerusi penalti pada saingan 32 pasukan terakhir.

“Kami mencipta peluang pada separuh masa pertama untuk menyusahkan mereka,” kata Rodgers kepada wartawan, menyesali kesilapan yang membolehkan skuad Tolgay Arslan itu menyamakan kedudukan.

“Saya bangga dengan pasukan ini dan kami gembira dengan suasana di sini, namun kami kecewa selepas berusaha bersungguh-sungguh.”

Rodgers berkata, Liverpool kini memberi perhatian terhadap Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan mereka meraih momentum biarpun bermula hambar dan Piala FA yang mempertemukan Liverpool dengan Blackburn pada pusingan keenam Mac ini.

“Kami boleh memberi tumpuan terhadap kempen liga yang kini semakin baik selain mempunyai peluang dalam kejohanan lain,” kata Rodgers.

“Saya hanya boleh memuji pemain, malangnya Istanbul bukan tempat yang menggembirakan kami malam ini.”

Beliau mengakui Liverpool kehilangan aksi berkualiti Steven Gerrard yang kini cedera.

“Saya rasa kami begitu selesa hinggalah mereka menjaringkan gol. Matlamat kami adalah mempertahankan gol daripada dibolosi. Kami kehilangan kreativiti, tapi itu bukan alasan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:16 AM