RODGERS belum memenangi sebarang piala di Anfield.
RODGERS belum memenangi sebarang piala di Anfield.
AFP

London: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mencabar pemainnya untuk membawa prestasi hebat mereka kebelakangan ini menjadi kejuaraan menjelang aksi suku akhir Piala FA menentang pasukan divisyen kedua Blackburn Rovers, malam ini.

Selepas permulaan kempen yang hambar, Liverpool mula menemui rentak kembali pada 2015, menang tujuh daripada lapan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris untuk kembali memburu tiket ke Liga Juara-Juara.

Hanya Wolfsburg yang mengumpul 16 mata daripada 18 mata penuh mampu menyaingi kebangkitan Liverpool dengan 23 mata daripada 27 mata penuh sejak awal tahun ini di lima liga teratas Eropah.

Dengan separuh akhir di Wembley dilihat begitu hampir, Rodgers mahu anak buahnya memanfaatkan prestasi mereka.

“Tahun pertama di sini adalah integrasi,” katanya.

“Matlamat tahun kedua adalah layak ke Liga Juara-Juara dan musim ini saya rasakan kami mempunyai kekuatan untuk memburu trofi.

“Jika kami boleh berada dalam empat pasukan teratas dan menang trofi, ia akan menjadi kejayaan buat kami musim ini.”

Rodgers masih belum menjulang sebarang trofi sepanjang dua setengah tahun di Anfield dan kali terakhir Liverpool memenangi trofi adalah tiga tahun lalu.

Memandangkan Chelsea, Manchester City dan Tottenham Hotspur sudah tersingkir dan hanya Manchester United atau Arsenal bakal melangkah ke suku akhir, peminat Liverpool pastinya terfikir bahawa tuah mula menyebelahi mereka.

Paling penting dalam misi memburu kejuaraan Piala FA buat kali kelapan adalah memberi hadiah perpisahan buat Steven Gerrard dalam perlawanan itu yang juga jatuh pada hari lahirnya sebelum menyertai Los Angeles Galaxy.

Kapten Liverpool itu tidak beraksi dalam enam perlawanan terakhir Liverpool berikutan kecederaan hamstring tetapi kembali minggu ini dan mungkin diturunkan menentang pasukan Blackburn yang dikendalikan Gary Bowyer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:08 AM