SEBAHAGIAN daripada penerima bantuan zakat Maij.
SEBAHAGIAN daripada penerima bantuan zakat Maij.
Teks dan Foto Mohd Sah Muda

Bantuan yang membolehkan seseorang itu berdikari dan mengembangkan kemahiran sebenarnya jauh lebih bermakna daripada wang ringgit. Malah, jika si penerima rajin berusaha dan bijak mengatur kewangan, tidak mustahil satu hari nanti dia pula menjadi pemberi bantuan bagi meringankan kesusahan orang lain.

Pendekatan inilah yang diambil oleh Majlis agama Islam Johor (Maij) apabila memberi peralatan kepada 20 asnaf penerima zakat di daerah Mersing yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Penyerahan bantuan peralatan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maij, Datuk Abd Razak Hassan bagi memudahkan asnaf berkenaan menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing.

Beliau berharap peralatan yang diberikan itu dapat memperbaiki perniagaan penerima dan melepaskan mereka daripada menjadi golongan asnaf pada masa akan datang.

“Kita juga mengharapkan dan berdoa semoga penerima bantuan ini berjaya dan menjadi pembayar zakat supaya sumbangan mereka dapat diagihkan kepada orang lain pula,” katanya.

Antara yang disampaikan termasuklah mesin jahit elektrik, peralatan memasak dan peti dingin beku.

Menurut Norsidah Saat, 51, yang menjalankan perniagaan membuat pelbagai jenis kerepek dan kek sejak 20 tahun lalu, bantuan yang diberikan itu sangat bermakna.

Dia yang menerima mesin membuat kek dan peti dingin beku bernilai RM4,200 amat berterima kasih kepada Maij kerana memilihnya sebagai asnaf.

“Mudah-mudahan berkat bantuan ini dapat saya menambahkan pengeluaran dan terus menjadi pembayar zakat bagi membantu asnaf lain pula,” katanya yang mengusahakan perniagaannya di Kampung Air Papan, Mersing.

Bagi Nur Aini Abd Jalil, 47, yang mendapat bantuan RM5,000 pula mahu membeli peralatan bagi membolehkannya menambah pengeluaran pau buatannya.

Nur Aini yang menjual pau di Medan Selera Jalan Md Aris, Mersing sejak lebih dua tahun lalu berkata, bantuan berkenaan menambah semangatnya untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kehidupannya.

Bukan saja mahukan kehidupan yang lebih baik, tetapi Nur Aini juga ingin menjadi penyumbang zakat sebagai membalas jasa masyarakat yang tidak ternilai harganya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 12:44 PM