JOHOR BAHRU: Taman Aktiviti Angry Bird pertama di Asia Tenggara yang terletak di Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) di sini akan dibuka kepada umum 31 Okt ini.

Taman aktiviti berkeluasan 2,415 meter persegi bernilai kira-kira RM17 juta itu menawarkan pelbagai jenis permainan menarik untuk golongan remaja dan kanak-kanak seperti 'Laser Bird Shoot' dan 'Classic Tower Play'.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pihaknya menyasarkan 150,000 pengunjung bagi tahun pertama taman itu beroperasi.

"Kami berharap taman aktiviti ini akan menjadi tarikan utama pengunjung dalam negeri dan luar negara selain mempromosikan Malaysia terutamanya Johor Baharu," katanya dalam sidang media mengenai taman aktiviti itu di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jualan dan Hubungan Rovio Entertainment, Jonna Nummela dan Pengarah Eksekutif Damansara Asset Sdn Bhd, Yusaini Sidek.

Kamaruzzaman berkata, taman itu tidak sekadar berbentuk hiburan tetapi menawarkan aktiviti permainan berbentuk fizikal dan pendidikan untuk kanak-kanak dan remaja.

Bayaran masuk untuk warganegara Malaysia ialah RM60 tanpa mengira usia, manakala warga asing pula RM75. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 4:35 PM