ANGRY Birds Activity Park di KOMTAR JBCC, Johor Bahru.
ANGRY Birds Activity Park di KOMTAR JBCC, Johor Bahru.
PENGUNJUNG berpeluang bergambar di ruangan disediakan.
PENGUNJUNG berpeluang bergambar di ruangan disediakan.
Teks dan gambar Nor Hanisah Kamaruzaman


Siapa yang tidak kenal dengan Angry Birds, permainan yang menjadi kegilaan ramai terutama kanak-kanak apabila lebih 2.5 bilion dimuat turun di seluruh dunia.

Berita baik kepada peminat apabila Angry Birds Activity Park Johor Bahru dibuka di KOMTAR Johor Bahru Convention Centre.

Ia taman tema Angry Birds pertama di Asia Tenggara dan mula beroperasi pada pertengahan tahun lalu.

Taman tema berkeluasan 26,000 kaki persegi itu bukan saja menawarkan permainan dan ruang untuk kanak-kanak, malah kepada golongan dewasa.

Pendek kata, ia menjadi tempat seisi keluarga meluangkan masa dengan pelbagai aktiviti.

Bagi kanak-kanak berumur bawah tiga tahun dan warga emas berumur 60 tahun ke atas, masuk percuma.

Taman tema ini mampu menampung 800 pengunjung dalam satu-satu masa dan dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti Danger Zone, Utopia, Classic dan South Beach.

Bagi menjaga keselamatan, setiap tarikan dalam taman tema itu dilabelkan dengan peringkat umur bersesuaian serta tahap bahaya untuk pengetahuan pengunjung.

Namun, setiap zon terbuka kepada semua peringkat umur walaupun tidak bermain bagi tujuan menemani kanak-kanak kerana keselamatan mereka diutamakan.

Di Danger Zone, disediakan permainan seperti Space Drop Air Bag, iaitu beg udara besar diletakkan di bawah platform dan pengunjung boleh terjun dan jatuh ke atas belon itu.

Lazer Bird Scoot juga di zon sama dan kanak-kanak boleh menaiki skuter di atas landasan khas, namun perlu pemerhatian ibu bapa kerana ia licin dan berliku.

Bagi kanak-kanak yang aktif dan bebas berlari, Utopia bahagian paling sesuai kerana ia digelar sebagai zon tanpa graviti.

Ada beberapa tarikan disediakan dan paling menarik Anti Gravity Trampoline di mana pengunjung bebas melompat dan melantun di atasnya.

Anti Gravity Trampoline dibahagikan kepada tiga ruang berbeza dan setiap satunya mengikut umur, bermakna golongan dewasa boleh mencuba permainan itu.

Di ruangan tanpa graviti itu juga disediakan Air Parkour Track iaitu pengunjung boleh berlari dan melompat di atas trampolin sebelum jatuh di dalam ‘kolam’ yang dipenuhi blok span.

Bagi yang minat mencuba aksi seakan-akan Tarzan, cubalah permainan Giant Leap Foam Pit di mana pengunjung boleh bergayut pada tali dan jatuh ke kolam blok span yang sama.

Pengunjung juga boleh mencuba Bird Wire Slack Line di bahagian sama dan perlu mengimbangkan badan dengan melalui satu tali panjang.

Di bahagian Classic, ia menyediakan tarikan yang menjadi kegemaran ramai iaitu Angry Birds GO! Kart Track, iaitu permainan kereta litar untuk kanak-kanak.

Selain kereta litar, kanak-kanak turut disediakan de­ngan Bird Nest Climbing Track di mana mereka boleh ‘meneroka’ Angry Birds Activity Park.

South Beach pula menampilkan pelbagai tarikan seperti Cine Mine iaitu ruangan menonton dengan skrin besar seakan-akan panggung wayang mini.

Anak kecil juga boleh belajar menunggang basikal dengan mengimbangkan basikal di Balance Bike Lagoon di mana ruangan besar disediakan bersama basikal dua roda tanpa pengayuh.

Bagi yang gemar permainan video, Angry Bird Activity Park turut menyediakan permainan video di ruangan yang sama.

Sebelum pulang, pengunjung boleh membeli cenderamata di kedai berdekatan pintu masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 4:01 AM