Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Johor Corporation (JCorp) akan menubuhkan sebuah entiti, Ibrahim International Business District (IIBD) yang akan beroperasi sebagai pemaju induk, pelaksana dan pemasar bagi merancakkan pemerolehan pelaburan asing, modal sosial dan modal insan.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, entiti yang ditubuhkan itu akan memberi tumpuan kepada usaha merangka dan melaksanakan dasar pro perniagaan dan pelaburan.

“Malah, ia dapat memasarkan IIBD sebagai lokasi pilihan bagi pelabur yang mahu merebut peluang pelaburan menarik dan sedang berkembang.

“Justeru, JCorp kini dalam proses menyusun dan menanda aras insentif kewangan dan cukai bersama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk ditawarkan oleh IIBD dalam usaha untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang keusahawanan bagi penduduk dan pelaburnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran penjenamaan identiti IIBD yang juga pusat pembangunan komersial bertaraf antarabangsa di Wilayah Ekonomi Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, semalam.

Majlis pelancaran penjenamaan identiti IIBD itu disempurnakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Turut berangkat Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Kamaruzzaman berkata, IIBD memperkenalkan konsep semangat keusahawanan dengan tumpuan membabitkan empat strategi HOME iaitu Warisan (Heritage), Peluang (Opportunity), Daya Pergerakan (Mobility) dan Kelestarian Alam (Eco-sustainability).

“Semangat keusahawanan melambangkan aspirasi kerajaan negeri bagi IIBD untuk bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan, menarik bakat dan pelaburan serta menggalakkan inovasi dan keusahawanan.

“Semangat ini menjadi teras pembangunan IIBD dengan perdagangan dan pelaburan ditumpukan dalam persekitaran terhubung yang merangsang perniagaan dengan peluang kukuh untuk membina jaringan kerjasama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 7:13 AM
Sultan Ibrahim bersama Tunku Ismail pada majlis pelancaran penjenamaan IIBD sambil disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semalam.
Sultan Ibrahim bersama Tunku Ismail pada majlis pelancaran penjenamaan IIBD sambil disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semalam.