SHAROFETDINOV (tengah) gagal  pamer aksi mantap
SHAROFETDINOV (tengah) gagal pamer aksi mantap
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Mungkin sudah hilang sabar dengan aksi longlai empat awang importnya, ketua jurulatih Sime Darby Ismail Zakaria dijangka bakal melakukan rombakan ketika jendela perpindahan April ini untuk mendapatkan pemain yang lebih baik.

Sime Darby yang kini terperosok di dasar Liga Super tanpa sebarang mata selepas tewas kesemua tiga aksi awal di tangan Perak (2-0), FELDA United (3-0) dan Terengganu (2-1) membayangkan untuk mengubah ‘selera’ dengan membawa masuk tonggak import dari benua Afrika.

Jika sebelum ini tumpuan Ismail lebih terarah dalam mengerah kudrat pemain import dari Asia Timur seperti Dilshod Sharofetdinov (Uzbekistan) dan Eropah, Ivan Dragicevic, Marko Perovic dan Nemanja Vidakovic (Yugoslavia) pengendali itu kini menganggap kesemua pemain berkenaan kurang menyengat sehingga kadang kala pemain tempatan dilihat beraksi lebih baik.

“Rata-rata pemain menunjukkan peningkatan dari aksi pertama hingga ketiga, cuma masih wujud kelemahan di beberapa bahagian terutama posisi tengah dan serangan yang kurang berkesan.

“Seharusnya mana-mana pemain import yang diambil perlu menunjukkan aksi lebih bertenaga, tapi permainan tonggak import kami tidak begitu menjadi.

“Tengoklah dalam dua aksi selepas ini bertemu PBAPP FC (Piala FA) dan Pahang (Liga Super), jika tiada ada perubahan kemungkinan saya perlu melakukan sesuatu dengan mencari pemain import baru.

“Mana tahu kali ini saya jumpa pemain berkulit hitam yang lebih berkualiti pula. Walau apapun, masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenainya, tunggulah hingga aksi bertemu Pahang nanti,” katanya semalam.

Jelasnya, Sime Darby perlu memenangi perlawanan menentang PBAPP FC bagi mencerahkan laluan ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala FA.

Ismail Zakaria dijangka merehatkan beberapa pemain utama dan mempertaruhkan barisan keduanya bagi menyimpan tenaga mereka untuk menghadapi Pahang minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 8:21 AM