TIGA daripada empat pemain import Sime Darby bakal disingkir.
TIGA daripada empat pemain import Sime Darby bakal disingkir.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ucapan selamat tinggal sudah boleh diucapkan tiga pemain import Sime Darby FC apabila mereka bakal meninggalkan kelab itu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka pada April.

Perkara itu disahkan ketua jurulatih Ismail Zakaria yang menyifatkan beliau tiada pilihan lain selain terpaksa menyingkirkan tiga daripada empat awang importnya kerana beraksi longlai hingga gagal memberikan impak.

Ismail mengaku tahap kesabarannya benar-benar diuji ketika tewas 0-2 kepada Pahang minggu lalu.

“Saya benar-benar marah kerana mereka gagal menjalankan tugas diamanahkan. Pahang ketika itu agak tempang akibat ketiadaan (Dickson) Nwakaeme dan (Matias) Conti yang hanya bermain sekejap kerana kecederaan.

“Begitu juga dengan beberapa pemain tempatan mereka yang tampak keletihan akibat jadual perlawanan padat, tapi pemain saya gagal mengambil kesempatan.

“Pemain import yang diharapkan dapat membantu kami menang perlawanan itu gagal. Malah, lebih menyedihkan pemain tempatan bermain lebih baik daripada mereka.

“Kalau begitu, baik kami buang saja dan guna tenaga tempatan daripada membazir wang membayar gaji mereka. Memang saya ‘panas’ betul dengan mereka.

“Selepas ini, saya akan rombak pasukan dan mencari pemain import baru,” katanya.

Menurut pengendali berusia 55 tahun itu, tiga pemain import yang bakal digantikan ialah Nemanja Vidakovic, Dilshod Sharofetdinov serta Marko Perovic yang beraksi di bahagian serangan dan tengah manakala nasib seorang lagi import Ivan Dragicevic di bahagian pertahanan dijangka selamat.

“Penyerang kami tidak boleh menjaringkan gol. Pemain tengah pula gagal hidupkan gerakan. Apa yang saya nampak, kami memang memerlukan tenaga import baru di kedua-dua bahagian itu untuk menguatkan semula cabaran,” katanya.

Selepas mengharungi empat aksi Liga Super, Sime Darby kini menghuni tangga tercorot liga tanpa sebarang mata apabila tewas semua perlawanan.

Pencapaian itu yang terburuk buat The Giant Killers berbanding musim lalu apabila mereka menduduki tangga kelima Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:43 AM