Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas satu demi satu pemain negara tumbang, gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei menjadi wakil tunggal untuk aksi suku akhir Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2014 Incheon itu mengerah segala kudrat untuk membawa harapan negara apabila memenangi pusingan kedua beregu wanita dengan menumpaskan pasangan Indonesia Anggia Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut 21-9, 18-21, 21-18.

Menurut Khe Wei, memang dia berasa sedih apabila menjadi wakil tunggal negara meneruskan perjuangan berikutan rakan lain kecundang satu demi satu.

“Saya memandang tinggi mereka terutama yang mempunyai peluang lebih baik berbanding kami. Bagaimanapun, sayang sekali hanya kami bernasib baik meneruskan kemaraan,” katanya selepas tamat perlawanan di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Jelasnya, selepas memenangi pusingan kedua dan mengulangi pencapaian pada 2012 dengan mara ke suku akhir dia harap boleh terus melangkah ke akhir.

“Saya rasa gembira kerana mara ke suku akhir dan mengulangi pencapaian 2012. Bagaimanapun, saya jangkakan lawan esok (hari ini) lagi sukar dari hari ini (semalam).

“Tapi, kami masih ada peluang untuk menang kerana mereka (Xia Huan-Tian Qing) kali pertama bergandingan bersama.

“Mungkin kombinasi pasangan China ini kurang bagus,” kata Khe Wei yang sebelum ini bergandingan bersama Vivian memenangi pingat emas Sukan SEA 2013 Myanmar.

Sementara itu, Vivian berkata, mereka sudah mempersiapkan diri sebaik mungkin kerana sebelum ini menjangkakan bertemu pilihan kedua dari Denmark Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl namun pasangan berkenaan kalah mengejut kepada Anggia Shitta-Mahadewi Istirani.

“Pada set pertama kami mengikut rentak permainan seperti biasa. Pada set kedua baru beregu lawan memberi tentangan sengit, nasib baik kami boleh bertahan dan menang.

“Bagaimanapun, seperti saya katakan sebelum ini, kami tidak fikir mahu ke separuh akhir atau akhir, hanya fokus kepada satu demi satu perlawanan.

“Setiap perlawanan kami sentiasa bersedia, siapa saja lawan kami akan beri tentangan habis-habisan,” katanya.

 Hasrat untuk melihat pasangan kedua beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho mengikut jejak Vivian-Khe Wei tidak kesampaian apabila tumpas kepada pasangan Jerman Isabel Herttrich-Birgit Michels 21-16, 17-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 9:41 AM