MEI Kuan (kanan), Meng Yean singkir jagoan China.
MEI Kuan (kanan), Meng Yean singkir jagoan China.

Kuching: Selepas hampir mencipta sejarah tersendiri mara ke suku akhir Terbuka Malaysia, beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dilihat semakin bersemangat untuk merampas status pasangan nombor satu negara dari Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

Kelmarin, bekas pemenang gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2012 itu memberikan persembahan terbaik apabila berpeluang menumpaskan juara Siri Super Akhir tahun lalu, Chen Qingchen-Jia Yifan dari China di pusingan kedua di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Selepas kalah set pertama, pasangan nombor dua negara itu bangkit untuk mengheret perlawanan ke aksi penentuan sebelum tumpas 17-21, 21-18, 23-25.

“Bukan kami tidak menghormati Vivian-Khe Wei tapi saya rasa kami harus memberikan saingan lebih kompetitif. Saya dan Meng Yen hilang rentak apabila dipisahkan pada 2013 sebelum digandingkan semula tahun lalu. Sekarang kami sedikit demi sedikit mendapat prestasi terbaik di dalam gelanggang.

“Jika dipisahkan sekali lagi akan memberi kesan kepada kami kerana bakal mengambil masa lama untuk mengukuhkan keserasian,” katanya.

Ujarnya, mereka sekarang ini berada pada momentum terbaik untuk menjadi pasangan nombor satu negara, selepas muncul juara kebangsaan tahun lalu.

Mei Kuan-Meng Yean akan meneruskan aksi di Terbuka Singapura minggu depan dan bakal berdepan Anggian Shitta Awanda-Ni Ketut Mahadewi Istarani dari Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 5:14 AM