TIAGO (kiri) yakin pasukannya mampu jerat Tok Gajah.
TIAGO (kiri) yakin pasukannya mampu jerat Tok Gajah.
Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

Georgetown: Pulau Pinang tidak gentar bertemu juara bertahan, Pahang pada suku akhir Piala FA walaupun skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu diakui mempunyai kelebihan.

Pengendali skuad Harimau Kumbang Jacksen Ferreira Tiago menganggap ia adalah medan terbaik buat anak buahnya menonjolkan potensi masing-masing.

Jacksen bangga dengan pasukannya yang mampu beraksi cemerlang sehingga meletakkan Pulau Pinang berada di tahap sekarang.

“Kami akan berdepan pasukan yang bukan calang-calang dan lebih berpengalaman serta memiliki beberapa piala kebelakangan ini, namun tetap meletakkan harapan mampu melakukan kejutan.

“Tiada perubahan dari segi corak permainan selain memantapkan pemahaman taktikal antara pemain. Malah, saya tetap meletakkan harapan kepada pemain kerana yakin dengan kebolehan mereka untuk mencipta kejutan,” katanya.

Pulau Pinang berjaya menamatkan penantian 10 tahun apabila melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Negeri Sembilan (NS) Matrik 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, baru-baru ini.

Perlawanan berkenaan menyaksikan tuan rumah mendahului lawan seawal minit kedua menerusi Shahrizal Mohd Saad, namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Pulau Pinang bangkit semula menguasai saingan.

Usaha Harimau Kumbang membuahkan hasil apabila Alberto Goncalves Da Costa bijak memperdayakan benteng untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan deras pada m-12 sebelum pemain import dari Korea Lee Gil Hoon mencipta gol kedua Pulau Pinang m-80.

Namun, saat manis itu tercemar apabila bas yang membawa pemain dan pegawai pasukan Pulau Pinang dibaling batu kira-kira 200 meter selepas keluar dari stadium menyebabkan tingkap bas berkenaan pecah manakala jurulatih kecergasan Leonardo Azevedo cedera di kepala.

Jacksen turut memuji prestasi anak buahnya yang menunjukkan peningkatan dalam latihan dan perlawanan sebelum ini serta berharap momentum itu berterusan untuk mengejutkan Pahang nanti.

“Beberapa pemain seperti Mohd Faiz Subri, Elias Sulaiman, Mohd Farid Ramli dan Mohd Azinee menunjukkan perkembangan yang baik dan banyak membantu pasukan beraksi dengan baik.

“Saya berharap mereka dapat mengekalkan prestasi untuk membantu Pulau Pinang mencipta kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:32 AM