Kuala Lumpur: “Jagalah mereka (pemain beregu wanita) dengan baik.” Itulah pesanan bekas jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak yang membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas tidak menandatangani kontrak baru kelmarin.

Menurut Rosman, meninggalkan BAM perkara paling sedih apabila terpaksa membuat keputusan tidak lagi bersama selepas 20 tahun berada dalam badan induk itu sebagai pemain dan jurulatih.

“Apa yang paling sedih ialah meninggalkan pemain saya bukan kerana sebab kontrak atau gaji. Mungkin saya boleh buat keputusan ini dengan lebih cepat lagi tapi tertangguh hingga kelmarin iaitu hari terakhir kontrak lama saya,” katanya.

Kata Rosman, anak buahnya sentiasa memberi komitmen dan kesungguhan tinggi ketika latihan mahupun kejohanan disertai.

“Sedih meninggalkan mereka. Siapa yang mengambil (melatih) kumpulan ini saya rasa tidak ada sebab untuk gagal. Pemain beregu wanita kita tidak lagi berada dalam kumpulan tahap rendah.

“Masing-masing sudah berusaha keras sejak saya menjaga mereka,” kata Rosman yang sudah bersama BAM sejak berusia 15 tahun sebagai pemain kebangsaan.

Vivian Hoo-Woon Khe Wei antara pemain asuhannya yang menyerlah apabila memenangi pingat emas Sukan SEA dan mereka akan mempertahankannya di Singapura Jun ini.

Selain Vivian-Khe Wei, pasangan lain yang mendapat sentuhan Rosman ialah Amelia Alicia Anscelly- Soong Fie Cho, Lee Meng Yean-Lim Yin Loo dan Chow Mei Kuan-Chin Kah Mun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 7:41 AM