ROSMAN menerima tugas itu selepas melihat kesungguhan PBA untuk mendapatkan khidmatnya. FOTO Ihsan Team Malaysia
ROSMAN menerima tugas itu selepas melihat kesungguhan PBA untuk mendapatkan khidmatnya. FOTO Ihsan Team Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Khidmat jurulatih tempatan terus mendapat perhatian negara luar apabila Persatuan Badminton Filipina (PBA) melamar bekas jurulatih beregu kebangsaan, Rosman Razak.

Rosman kini akan menjawat tugas sebagai ketua jurulatih negara itu berkuat kuasa November lalu dengan salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan adalah membantu pemain negara itu layak buat kali pertama ke temasya Olimpik Paris 2024.

Katanya, beliau menerima tugas itu selepas melihat kesungguhan PBA untuk mendapatkan khidmatnya biarpun turut mendapat beberapa tawaran dari negara lain.

"Saya tertarik dengan tawaran daripada PBA kerana fokus yang mereka inginkan iaitu mahu pemain mereka layak ke Olimpik. Jadi saya ambil cabaran itu dan akan cuba melaksanakan tugas sebaik mungkin.

"Saya akui ia satu tanggungjawab besar buat saya dan saya akan cuba buat yang terbaik untuk merealisasikan sasaran ke Olimpik.

"Filipina bukan kuasa besar dalam sukan badminton. Mereka ada pemain yang berbakat cuma kurang pendedahan," katanya yang akan dibantu oleh lima jurulatih tempatan di bawah seliaannya.

Rosman meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Disember 2020 selepas kontraknya ditamatkan atas persetujuan bersama.

Kemampuannya dibuktikan ketika bergelar ketua jurulatih beregu wanita dengan kejayaan Vivian Hoo-Woon Khe Wei memenangi pingat emas Sukan Komanwel dan gangsa Sukan Asia 2014.

Empat tahun kemudian, Rosman turut membantu Vivian yang berpasangan bersama Chow Mei Kuan meraih emas pada Sukan Komanwel 2018.

Malah, Rosman menjadi watak penting yang membentuk gandingan Pearly Tan-M Thinaah pada 2019 sehingga mereka mencipta sensasi dengan kejayaan muncul juara Terbuka Switzerland tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 8:33 PM