VIVIAN (belakang), Amelia sedih ketiadaan  Rosman.
VIVIAN (belakang), Amelia sedih ketiadaan Rosman.

Kuala Lumpur: Menang pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 seakan-akan kurang bermakna buat beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho selepas pemergian jurulatih, Rosman Razak.

Vivian-Khe Wei mengakui mereka turun ke gelanggang di Stadium Putra, Bukit Jalil dalam keadaan yang penuh emosi walaupun mengalahkan pasangan Thailand, Puttita Supajirakul - Sapsiree Taerattanachai 17-21, 21-17, 21-16 dalam tempoh 67 minit.

Menurut Vivian, walaupun beraksi dalam keadaan sedih akibat ketiadaan Rosman namun mereka tetap berazam untuk meneruskan aksi cemerlang sebagai bukti penghargaan kepada bekas jurulatih mereka itu.

“Walaupun fokus sedikit terganggu kami mahu beraksi sebaik mungkin bagi menunjukkan penghargaan terhadap jurulatih yang banyak membantu selama ini,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Jelasnya, memang rasa terkejut apabila mengetahui Rosman mahu berhenti tetapi mereka tetap akan teruskan aksi cemerlang kerana perjuangan adalah untuk negara.

“Pusingan kedua esok (hari ini) bukan mudah kerana pasangan Denmark, Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl yang juga pilihan kedua kejohanan pernah menewaskan kami pada Piala Uber tahun lalu,” katanya.

Ditanya mengenai pengganti Rosman, Vivian berkata, dia mengenali Lim Pek Siah sebagai seorang pemain tetapi tidak pernah bekerjasama dengan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 Manchester itu.

Bagaimanapun dia berharap, jurulatih itu dapat membantu menaikkan lagi prestasi mereka pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 7:52 AM