Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pertahanan import Tok Gajah Damion Stewart mahu rakan sepasukan kembali fokus dalam usaha mengembalikan prestasi lebih mantap dan bertenaga apabila saingan Liga Super bersambung Sabtu ini.

Lebih dikenali sebagai ‘kereta kebal’ Pahang Stewart, berkata segala kelemahan dipersembahkan dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala AFC perlu diperbaiki selain mengurangkan kelemahan yang terdapat dalam pasukan.

Katanya, ketika mereka perlu mengharungi jadual padat dengan lapan aksi sepanjang April ini, faktor kecergasan perlu diberikan perhatian utama selain kekuatan mental untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Sebenarnya, jadual padat akan memberikan kesan terhadap prestasi pasukan, tetapi ia tidak perlu dijadikan alasan kerana semua pemain perlu kekal fokus dan sentiasa bersedia.

“Saya harap apabila saingan kembali bersambung 4 April ini, Pahang akan lebih mantap tidak seperti pada awal musim di mana kami tidak begitu menyerlah,” kata pemain berasal dari Jamaica itu.

Berdasarkan jadual perlawanan membabitkan Tok Gajah sepanjang bulan depan, Pahang akan memulakan cabaran pertama apabila melayan kunjungan LionsXII Sabtu ini, diikuti aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Pulau Pinang pada 7 April.

Aksi Liga Super pula bertemu Kelantan pada 11 April, Perak (19 April), Pulau Pinang (22 April) dan FELDA United (25 April) manakala dalam saingan Piala AFC, anak buah Zainal Abidin Hassan itu bakal bertemu South China (15 April) serta Yadanarbon FC (29 April).

Stewart yang juga bekas pemain Queens Park Rangers (QPR) itu berharap masa rehat selama tiga hari sebelum setiap perlawanan tidak memberikan kesan terhadap persembahan keseluruhan pasukan.

Menurutnya, paling utama mereka perlu memastikan tiada masalah kecederaan hingga memberi kesan seperti berlaku ke atas Matias Conti dan Dickson Nwakaeme yang mengalami kecederaan hingga menjejaskan rentak permainan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:14 AM