JURULATIH Felda United, B Sathianathan akui jadual padat itu seakan tidak adil kepada pasukannya. - Foto Hafiz Sohaimi
JURULATIH Felda United, B Sathianathan akui jadual padat itu seakan tidak adil kepada pasukannya. - Foto Hafiz Sohaimi
Devinder Singh


FELDA United bakal berdepan jadual padat dalam tempoh lapan hari, bermula dengan pertemuan menentang PKNP FC untuk aksi suku akhir Piala FA, Sabtu ini.

Meskipun perlawanan domestik ditangguhkan susulan aksi persahabatan antara Malaysia dan Bhutan, hari ini, pasukan itu dijadual bertemu Terengganu FC II (TFCII) bagi aksi Liga Perdana tiga hari selepas aksi Piala FA.

Pendahulu Liga Perdana itu kemudiannya perlu terbang ke Sabah untuk satu lagi aksi liga pada 14 April, sebelum melayan kunjungan PKNP FC untuk aksi suku akhir kedua Piala FA enam hari berikutnya.

Pengendalinya, B Sathianathan menegaskan jadual padat itu seakan tidak adil kepada pasukannya yang setakat ini cemerlang merakam rekod kemenangan 100 peratus dalam aksi liga dan juga Piala FA berbanding pasukan lawannya.

PKNP FC yang beraksi dalam Liga Super tidak mempunyai aksi di pertengahan minggu sementara TFCII dan juga Sabah tidak terbabit dengan aksi Piala FA.

"Kami akan ke Kuala Terengganu tiga hari selepas aksi Piala FA di Batu Kawan dan kemudiannya terbang ke Kota Kinabalu," kata Sathianathan.

"Semua pasukan memiliki tempoh rehat yang cukup sebelum berdepan kami. Kami satu-satunya pasukan Liga Perdana yang terbabit dengan Piala FA namun kami masih perlu beraksi di pertengahan minggu ketika pasukan Liga Super tidak berdepan sebarang perlawanan."

Aksi Liga Super hanya akan bermula pada 13 April meskipun penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menghadapi aksi Piala AFC berdepan Persija Jakarta pada 10 April, empat hari selepas mereka berdepan Pahang dalam aksi Piala FA.

Dalam masa sama, Sathianathan juga tidak berpuas hati dengan keputusan PKNP FC yang mahu melangsungkan perlawanan pada sebelah petang meskipun Stadium Batu Kawan diberi kebenaran untuk beraksi pada sebelah malam.

"Tuan rumah boleh memilih waktu sepak mula yang dimahukan. Namun siapa yang mahu datang menyaksikan perlawanan pada jam 4.15 petang? Mungkin selepas ini kita patut beraksi pada jam 2 petang," katanya.

Bagaimanapun, FELDA sudah membuat rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menukar waktu sepak mula bagi aksi Piala FA dan juga menangguhkan aksi liga menentang TFCII.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 10:28 PM