PEMAIN FELDA United Thiago Augusto (tengah) meraikan jaringan ketika menentang Selangor.
PEMAIN FELDA United Thiago Augusto (tengah) meraikan jaringan ketika menentang Selangor.

Maran: Pengendali FELDA United B Sathianathan bimbang jadual padat diharungi skuad kendaliannya akan mendedahkan pemain kepada risiko kecederaan.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, kepadatan jadual perlawanan dalam Liga Super dan Piala Malaysia membuatkan mereka keletihan sekali gus berisiko ditimpa kecederaan.

Bagaimanapun, Sathianathan memberitahu, beliau terpaksa mengharapkan pemain sama untuk beraksi dalam dua pertandingan itu kerana hanya mempunyai 14 atau 15 pemain berkualiti untuk diturunkan.

“Agak sukar pasukan seperti kami yang bergantung kepada 14 atau 15 pemain, ditambah lagi faktor lain seperti umur serta perjalanan jauh untuk ke stadium. Jadual ini sesuai untuk pasukan yang mempunyai 20 pemain berkualiti.

“Saya harap pemain tidak dibelenggu masalah kecederaan kerana kami masih ada beberapa perlawanan Liga Super selain kedudukan belum selamat dalam saingan Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas aksi FELDA United menentang Selangor, malam kelmarin.

Sementara itu, pengendali Selangor P Maniam berkata, ketiadaan dua import, Andik Vermansyah dan Rufigo Segovia akibat kecederaan jelas menjejaskan prestasi pasukan.

“Kita tidak bermain baik pada separuh masa pertama dengan membiarkan lawan menguasai bahagian tengah seterusnya menjaringkan gol hasil ‘set piece’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 9:18 AM