ZAINAL (dua dari kiri) yakin pemain muda tambah sengat Tok Gajah.
ZAINAL (dua dari kiri) yakin pemain muda tambah sengat Tok Gajah.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Jurulatih Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan dijangka menyenaraikan sekurang-kurangnya dua pemain tempatan baru selepas menyedari aksi lebih sengit apabila saingan Liga M kembali bersambung 4 April ini.

Berdasarkan perancangan, pemain dari skuad Piala Presiden menjadi pilihan selepas mengambil kira jadual padat bakal dihadapi skuad itu.

Katanya, setakat ini pemain skuad itu dilihat mampu memberikan sumbangan menghadapi saingan Liga Super,Piala FA dan Kejohanan Piala AFC

“Saya percaya dengan bakat yang mereka miliki serta aksi cemerlang dalam saingan Piala Presiden, mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Kebolehan yang mereka miliki mampu memberikan lebih kekuatan kepada skuad Pahang dengan kerjasama dan gabungan sedia ada yang mampu memberikan impak positif,” katanya, di sini, semalam.

Pahang yang menampilkan dua pemain baru, Nor Azam Abdul Azih dan Rizua Shafiqi Kamarulzaman berjaya mempamerkan prestasi membanggakan.

Tidak hairanlah pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan mereka untuk aksi persahabatan di Bangkok, Thailand dan menamakan pemain terbaik untuk mewakili negara ke Sukan SEA Singapura Jun depan.

Mengulas ketiadaan empat pemain utama selain Nor Azam dan Shafiqi, Zainal berkata, tanpa Khairul Azhan Mohd Khalid dan R Gopinathan, mereka menjalani latihan seperti biasa.

Katanya, fokus utama adalah untuk mengembalikan prestasi dan membentuk persefahaman mantap terutama menajamkan lagi jentera serangan pasukan yang sedikit tumpul.

“Saya kini lebih memberikan tumpuan terhadap corak permainan serta mengharapkan tiada kecederaan dialami pemain apabila saingan Liga Super bersambung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:27 AM