Christina Milian akhirnya membuka cerita mengenai percintaannya yang menjadi tanda tanya menerusi temubual bersama majalah Latina.

Pernah dilihat beberapa kali keluar bersama Lil Wayne, ia seolah-olah membuktikan kedua-dua mereka mempunyai hubungan lebih daripada rakan.

“Adakah satu masalah kalau saya bercinta dengan dia? Saya akui mempunyai hubungan istimewa dengan dia tetapi sejak dulu lagi saya sangat berhati-hati bercerita soal peribadi, terutama membabitkan percintaan.

“Apabila kita mempunyai sesuatu yang istimewa, semua orang ingin menjadi sebahagian daripada hubungan kami. Ramai curi-curi ambil gambar, kemudian dengan bangga memuat naik di laman sosial,” katanya.

Pelakon dan penyanyi itu banyak belajar daripada kesilapan lalu ketika masih bergelar isteri. Sejak itu, Christina menjadi perahsia dan tidak mudah mendedahkan kisah peribadi.

Katanya, dia cuba menjadi ibu yang baik untuk anaknya, Violet, 5.

“Ikutkan hati, saya mahu menghabiskan masa sepanjang hari dengan Violet. Apakan daya, saya terpaksa bekerja bagi menyara kehidupan kami. Namun, saya pasti memperuntukkan beberapa jam untuk berbual dengan Violet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:15 AM