CHEF Azree bersama kumpulan Titan serta sebahagian menu di Jump Cafe.
CHEF Azree bersama kumpulan Titan serta sebahagian menu di Jump Cafe.
GREEK Salad hidangan sihat yang menyelerakan.
GREEK Salad hidangan sihat yang menyelerakan.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Hidangan Jump Cafe ringkas tetapi mengenyangkan cukup sesuai buat mereka mencari pilihan menu sihat.

Lokasi kafe terletak dalam pusat riadah Jumpstreet Asia Trampoline di Petaling Jaya menyajikan hidangan Amerika Selatan selain pilihan sandwich serta pilihan kopi yang dikisar membangkitkan selera selepas penat bersukan.

Pengurus Kafe, Chef Fairul Azree Abd Razak berkata hidangan strategik cukup penting bersesuaian dengan demografi pengunjung mahukan hidangan ringkas, kenyang namun enak.

Meskipun kafe berkenaan mempunyai cawangan di Pulau Pinang, namun pilihan menu ditawarkan berlainan mengikut permintaan pelanggan.

“Selain di Kuala Lumpur kami mempunyai cawangan di Pulau Pinang. Namun sajian di sana berbeza mengikut kumpulan pelanggan ke kafe kami. Kalau hidangan di sini kami perbanyakan pilihan sandwich selain masakan barat bercirikan Amerika Selatan.

“Antara mendapat sambutan ialah sajian pasta seperti carbonara. Selain itu, hidangan seperti Pulled Chicken Tikka Taco menampilkan hirisan ayam segar dalam lipatan Taco iaitu sejenis roti bersama pilihan herba, sayur serta kemanisan gajus membuatkan pelanggan baik rakyat tempatan mahupun ekspatriat kerap berkunjung ke sini.

“Pilihan sandwich seperti Pesto Mushroom sudah memadai. Malah menu roti ini cukup enak dinikmati bersama pilihan kopi dikisar serta diadun oleh barista kafe kami yang berpengalaman,” katanya.

Tambah Azree lagi, saranan buat mereka yang datang hujung minggu atau dalam kumpulan besar, perlu membuat tempahan mengelak hidangan diingini habis atau menunggu terlalu lama.

“Kami sering dikunjungi pelanggan yang datang berkumpulan. Mereka selalunya membuat tempahan dan ini membantu kami menyediakan hidangan lebih pantas selain mengelak menu pilihan terhad habis.

“Kami beroperasi dari jam 10.30 pagi sehingga 9 malam. Menariknya pelanggan boleh bersantai dengan hidangan di sekitar arena trampolin,” katanya.

Pasta karbonara tepati cita rasa

Pelawak duo Titan, Azizul Ammar Abu Hassan dan Fazlisham Mat Hussin atau lebih dikenali dengan Ammar serta Issey Titan, teruja dengan suapan setiap hidangan di Jump Cafe.

Kafe santai menyajikan hidangan sihat tetapi menyelerakan sesuai buat pengunjung yang mementingkan kesihatan.

Ammar mengakui personaliti sepertinya perlu menjaga penampilan supaya nampak menarik tatkala muncul di kaca televisyen, tertarik dengan pilihan menu kafe berkenaan.

“Saya peminat hidangan barat terutama pasta karbonara dan ia disediakan menepati dengan halwa tekak serta cita rasa lidah saya.

“Tidak terlalu muak serta bahan diketengahkan segar membuatkan hidangan lebih enak. Selain itu terdapat pilihan Greek Salad cukup baik untuk keperluan tubuh,” katanya.

Perkembangan terbaru artis berasal dari Kota Tinggi Johor itu, dia giat berlakon dalam drama Alaa Bib ditayangkan dalam slot Iris TV3 turut bakal mengacara program keagamaan santai, Hadis.

“Saya bakal tampil dalam program bual santai agama, Hadis pada November nanti untuk slot pagi di TV9. Aliran rancangan bual itu berat tetapi saya tidak rasa terbeban kerana bagi saya ini peluang untuk mempelajari ilmu baru selain memahami isu agama.

“Saya gunakan pendekatan daripada pengalaman sendiri untuk bertanya kepada ustaz Muhadir Joll sekali gus memberi penyelesaian kepada kemusykilan agama berlaku dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sementara pasangan dalam kumpulan terbabit, Isey menyifatkan kunjungan ke Jump Cafe bukanlah asing.

Dia sebelum ini pernah mengacara rancangan Sarapan di kafe sama berasa cukup santai dengan suasana serta dekorasi kafe berkenaan.

“Kafe ini tampak ringkas dengan meja kayu serta kaunter kemas dengan susunan kopi serta sandwich memberi perasaan mesra untuk pengunjung relaks serta bersantai.

“Datang pula menu ringkas tapi lengkap daripada segi rasa serta kenyang membuatkan ia hidangan wajar dinikmati mereka mahu menjaga kesihatan,” katanya berhasrat mempunyai perniagaan kafe ‘hipster’ menyajikan hidangan tradisional Kelantan.

Perkembangan terbaru Issey, seperti rakannya dia turut sibuk mengacara serta giat berlakon.

“Ketika ini saya bersama rancangan Bang Bang Boom di TV3. Bagi saya menyeronokkan bersama produksi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:01 AM