Madrid: Perlawanan yang mempunyai paling ramai pemain bintang dalam bola sepak akan kehilangan serinya apabila Gareth Bale yang cedera tidak dapat diturunkan ketika Real Madrid melayan kunjungan Barcelona di Santiago Bernabeu.

Pemain Wales itu memerlukan tiga perlawanan sebelum membuat impak dalam pertembungan Clasico apabila dia melakukan gerakan solo untuk menjaringkan gol kemenangan bagi membantu Real menjulang kejuaraan ke-19 Piala Raja Sepanyol, April lalu.

Jurulatih Ajax Frank de Boer ketika diminta mengulas mengenai perlawanan itu selepas menyaksikan anak buahnya tumpas kepada Barcelona awal pagi Rabu lalu menganggap ketiadaan Bale sesuatu yang merugikan bola sepak.

Bagaimanapun Real membuktikan mereka tetap hebat tanpa pemain bertaraf dunia seperti Bale, Sergio Ramos dan Dani Carvajal apabila menewaskan Liverpool di Anfield, kelmarin.

Jurulatih Real, Carlo Ancelotti pasti hanya akan dapat mengenang gol jaringan Bale pada final Piala Raja Sepanyol.

Sebelum perlawanan di Valencia itu, pengendali dari Itali itu mengharungi hampir 10 tahun dan tujuh perlawanan tanpa kemenangan menentang kelab Catalunya itu dengan tiga kelab berbeza.

Pada aksi final itu, mereka beraksi tanpa Cristiano Ronaldo yang mengalami kecederaan hingga mendorong Ancelotti menukar formasi kepada 4-4-2 berbanding formasi biasa 4-3-3 dengan Ronaldo, Bale dan Karim Benzema di bahagian serangan.

“Kami dalam prestasi terbaik dan akan membuktikan betapa hebatnya kami,” kata kapten Iker Casillas.

“Meskipun ada pemain cedera, pemain gantian boleh beraksi dengan baik. Inilah yang kami perlu kekalkan. Kami perlu menang, menang dan menang lagi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:04 AM