BALE kini pulih daripada kecederaan.
BALE kini pulih daripada kecederaan.
AFP

Madrid: Juara Eropah, Real Madrid perlu mencetus kekalahan pertama Sevilla di laman sendiri dalam tempoh 13 bulan bagi mengekalkan buruan kejuaraan La Liga Sepanyol apabila mereka bertandang ke Sanchez Pizjuan, awal pagi esok.

Los Blancos kini dua mata di belakang Barcelona di puncak liga dengan baki empat perlawanan dan turut berdepan tugas getir dengan kunjungan ke Andalusia empat hari sebelum menentang Juventus pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, Sevilla juga terdesak meraih mata ketika mereka bersaing dengan Valencia bagi tempat keempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Ia pasti amat sukar, seperti semua perlawanan yang kami lalui,” jelas kapten Real, Iker Casillas.

“Perlawanan paling penting kami kini adalah Sevilla. Kami menentang pasukan yang amat unggul di laman mereka dan mantap sepanjang musim. Lagipun mereka merebut tempat ke Liga Juara-Juara dan mara ke separuh akhir Liga Europa.

“Ia pasti perlawanan hebat buat peminat, tapi ada tiga mata menjadi pertaruhan kerana kami perlu menang dan berharap Barcelona kecundang.”

Real bakal diperkuatkan dengan kembalinya Gareth Bale daripada kecederaan betis namun Karim Benzema mungkin direhatkan menjelang kunjungan ke Turin pertengahan minggu depan.

Sevilla menundukkan Real 2-1 di laman sendiri musim lalu dengan Carlos Bacca menyumbat dua gol.

Penyerang Colombia itu menjaringkan dua gol lagi ketika Sevilla melebarkan rentetan tanpa kalah dalam semua pertandingan kepada lapan perlawanan dengan kemenangan 3-1 ke atas Eibar awal pagi kelmarin dan yakin sokongan penonton boleh membantu mereka meraih tiga mata.

“Kami bermain dengan amat bagus di laman sendiri. Ia perlawanan hebat dan dengan penyokong kami ia pasti menarik,” jelas Bacca.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:18 AM