AKSI  Bellingham menjaringkan gol ketiga Madrid. FOTO AFP
AKSI Bellingham menjaringkan gol ketiga Madrid. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Jude Bellingham muncul wira Real Madrid selepas jaringannya membantu kemenangan dramatik 3-2 ke atas juara bertahan Barcelona awal pagi tadi sekali gus membolehkan mereka berkelebihan 11 mata selaku pendahulu La Liga.

Jurulatih Real Madrid Carlo Ancelotti memuji sumbangan penting pemain tengah England itu yang membawa Los Blancos semakin menghampiri gelaran Sepanyol.

Madrid dua kali bangkit daripada ketinggalan menerusi jaringan Vinicius Junior dan Lucas Vazquez yang menyamakan kedudukan selepas Andreas Christensen dan Fermin Lopez meledak gol Barca sebelum Bellingham menghasilkan jaringan kemenangan tuan rumah pada masa kecederaan.

"Bellingham tiba pada masa yang tepat, dia bekerja sangat gigih dalam perlawanan ini. Dia kemarau gol sejak akhir-akhir ini tetapi hari ini dia menjaringkan gol sangat penting untuk meneruskan hasrat kami," kata Ancelotti.

Barcelona yang berada di tangga kedua bangkit daripada kekalahan di tangan Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu tetapi keazaman mereka dimusnahkan Bellingham.

Madrid mempamerkan semangat sama ketika mereka menentang Manchester City ketika mara ke peringkat empat terakhir Eropah sebelum Bellingham menggembirakan penyokong di Santiago Bernabeu.

Penjaring terbanyak Madrid dengan 21 gol dalam semua kejohanan itu turut meledak dua gol ketika menang aksi Clasico ke atas Barcelona pada Oktober dan menyinar pada musim pertamanya di Sepanyol ketika hanya berusia 20 tahun.

Dalam perlawanan awal, Atletico Madrid yang tersingkir daripada saingan UCL terus dirundung duka selepas tewas 0-2 di Alaves yang menyukarkan peluang mereka menduduki kelompok empat teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 7:18 AM