Madrid: Pendahulu La Liga, Real Madrid akan memburu kemenangan ke-20 berturut-turut dalam semua pertandingan apabila mereka berkunjung ke kelab tanpa pengurus Almeria, awal pagi esok bagi perlawanan terakhir liga tahun ini.

Juara Eropah itu menuju ke Maghribi minggu depan untuk menyertai Piala Kelab Dunia dan pasti berazam meneruskan catatan cemerlang hingga ke 2015.

Selepas menundukkan Celta Vigo hujung minggu lalu, kemenangan 4-0 ke atas Ludogorets Razgrad pada pertengahan minggu menyaksikan Los Blancos mengatasi rekod Sepanyol, 18 kemenangan dilakar Barcelona pada musim 2005-06.

Real muncul pasukan keenam melangkah ke peringkat kalah mati dengan rekod 100 peratus pada Liga Juara-Juara, satu-satunya pasukan yang melakukannya dua kali dan persembahan mengagumkan itu menggembirakan pengurus Carlo Ancelotti.

“Ia keputusan yang kami raih dengan tumpuan penuh dan tahap profesionalisme menakjubkan,” jelas pengendali dari Itali itu.

“Tidak mudah menyediakan pasukan bagi setiap perlawanan pada tahap motivasi sama dan keghairahan yang ditunjukkan pemain. Saya memiliki kelompok pemain luar biasa.”

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-28 musim ini dan ke-72 keseluruhan dalam Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu dan akan cuba meneruskan ketajamannya di depan gol lawan apabila berkunjung ke Almeria yang tidak menang perlawanan liga sejak September.

Kekalahan 2-5 di tangan Eibar awal minggu ini menyebabkan Francisco Rodriguez kehilangan jawatan pengurus ketika kelab Andalusia itu hanya berada di atas zon penyingkiran menerusi perbezaan gol.

Ronaldo, Gareth Bale, Isco dan Toni Kroos antara pemain utama yang tidak direhatkan Ancelotti pada pertengahan minggu dan pemain seperti Iker Casillas, Sergio Ramos dan Karim Benzema dijangka kembali. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 7:09 AM