Reuters

Turin: Selepas berjaya memecahkan benteng salah satu pasukan terkuat Eropah di suku akhir, Real Madrid perlu sekali lagi membuktikan keunggulan apabila bertemu Juventus di separuh akhir Liga Juara-Juara, esok.

Juara bertahan itu memerlukan masa kurang tiga jam untuk merobohkan kekentalan Atletico Madrid di pusingan sebelum ini apabila menang agregat 1-0 dan gol tunggal itu hanya diperoleh pada minit ke-88 perlawanan kedua.

Esok, mereka akan berdepan Juventus yang baru ditabal juara Serie A dengan baki empat perlawanan dan hanya melepaskan 19 gol sepanjang 34 perlawanan.

Kekebalan pertahanan Juve turut berlaku di Liga Juara-Juara apabila sekadar bolos lima gol dalam 10 perlawanan sambil mencatat enam kemenangan bersih.

Juventus tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Atletico selain mampu mempamerkan aksi menyerang, bergantung kepada keadaan.

Pertahanan tengah, Giorgio Chiellini, Andrea Barzagli dan Leonardo Bonucci sudah beraksi bersama sejak empat musim lalu, bersama Juventus dan Itali selain mengecap empat kejuaraan Serie A berturut-turut.

“Saya rasa kami mempunyai benteng terbaik,” kata Bonucci menjelang aksi separuh akhir menentang Real. “Kami faham dengan permainan masing-masing.”

Persoalannya ialah adakah mereka cukup ampuh mempertahankan asakan jentera serangan Real yang diketuai Cristiano Ronaldo ketika pemain itu menghambur amaran apabila meledak hatrik ke-25 dalam aksi La Liga ke atas Sevilla, Sabtu lalu.

Juventus juga perlu mempraktikkan corak terbaik memecahkan benteng Real yang tidak pernah melepaskan gol sepanjang aksi di tempat lawan sejak menang 2-1 ke atas Ludogorets Razgrad pada 1 Oktober.

Walaupun dalam saingan domestik Juventus dilihat hebat, bola sepak Itali sering gagal menyaingi kehebatan permainan kelab Sepanyol.

Banyak yang berlaku sejak kali terakhir Juventus beraksi di separuh akhir 12 tahun lalu dan secara kebetulan, mereka turut berdepan Real dan menang agregat 4-3.

Hanya dua pemain masih kekal dalam skuad itu, penjaga gol Gianluigi Buffon dan Iker Casillas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 8:29 AM