ERLING Haaland. FOTO AFP
ERLING Haaland. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Manchester City kemungkinan boleh menurunkan kembali khidmat penjaring prolifik mereka, Erling Haaland untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Nottingham Forest esok, kata pengurus, Pep Guardiola.

Penyerang itu yang menduduki tangga teratas penjaring terbanyak liga musim ini bersama Cole Palmer dari Chelsea dengan 20 gol, tidak beraksi pada perlawanan liga menentang Brighton semalam dan kemenangan ke atas Chelsea pada separuh akhir Piala FA kerana kecederaan otot.

"Saya lebih suka ada Erling yang boleh saya gunakan daripada memiliki (skuad tanpa dia)," kata Guardiola kepada pemberita.

"Saya ada bercakap dengannya, dan dia berkata dia berasa lebih baik, saya tak tahu selebihnya" katanya lagi.

City naik ke tangga kedua di belakang Arsenal selepas kemenangan ke atas Brighton tetapi kurang satu perlawanan berbanding The Gunners dalam usaha mereka untuk melakar sejarah memenangi kejuaraan liga kali keempat berturut-turut.

Ketika Forest sedang bergelut hanya satu mata di atas zon penyingkiran, City tidak boleh memandang mudah mana-mana lawan mereka dengan hanya tinggal lima perlawanan dan tidak boleh melakukan kesilapan, kata Guardiola.

"Saya pernah berada di stadium itu (City Ground) dan selalunya ia sangat menakjubkan. Tetapi apa yang saya bimbang ialah penyerang mereka, kami perlu mengawal senjata yang mereka ada," katanya.

Senjata utama City pula, Phil Foden berjaya meledak dua gol untuk keseluruhan lima gol dalam dua perlawanan terakhirnya,

Pemain antarabangsa England berusia 23 tahun itu mempamer prestasi permainan ke tahap yang lebih tinggi dengan 24 gol dalam semua pertandingan musim ini.

"Sudah banyak kali saya katakan Phil mempunyai gear keenam," kata Guardiola.

"Tetapi dia tidak boleh bermain sepanjang masa di gear keenam, dia perlu bermain dengan gear kedua atau ketiga. Saya fikir lama-kelamaan dia akan belajar bahawa dia sebenarnya jauh lebih baik," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 9:13 AM